Home Menguruskan Hutang Menguruskan Hutang Anda
Menguruskan Hutang Anda PDF Print E-mail
Tuesday, 19 July 2011 03:50

Dari sehari ke sehari, rakyat Malaysia dibelenggu dengan kemelut hutang yang banyak. Amalan berhutang sudah sebati dalam diri sesiapa sahaja kerana berhutang adalah mudah. Namun, sekiranya ia tidak diurus dengan betul, seorang demi seorang akan jatuh muflis. Sebahagian daripada kita terpaksa berhutang demi meneruskan kelangsungan hidup iaitu berhutang untuk mendapatkan keperluan asas seperti tempat perlindungan daripada panas dan hujan, pakaian bagi melindungi badan daripada kesejukan dan makanan bagi melindungi daripada kelaparan.. Persoalannya, berapa ramaikah diantara anda yang tahu menguruskan hutang anda dengan bijak? Oleh itu, adalah penting bagi anda mengetahui cara untuk menguruskan hutang anda. Merujuk kepada Bank Negara Malaysia, terdapat enam (6) tip untuk membantu anda mengenai cara menguruskan hutang.

Pertama, meminjam secara berhemat. Apabila anda ingin meminjam, anda dinasihatkan meminjam mengikut kemampuan/gaji anda untuk membayarnya semula. Elakkan dari membuat pinjaman melebihi kemampuan/gaji bagi mengelakkan anda dibebankan dengan hutang yang melebihi pendapatan anda. Contohnya, jika anda membeli sebuah kereta, semasa menentukan bayaran ansuran bulanan sewa beli, anda perlulah mengambil kira sebarang kos tambahan yang akan ditanggung secara berkala iaitu perbelanjaan untuk minyak, tol, pembaikan dan kos penyelenggaraan.

Kedua, menguruskan kad kredit anda dengan bijak. Pastikan anda membayar kesemua hutang kad kredit anda pada setiap bulan bagi mengelakkan daripada dikenakan kadar faedah. Kadar faedah yang dikenakan ke atas baki kad kredit terkumpul biasanya lebih tinggi daripada pinjaman. Jika anda tidak mampu untuk membayar kesemua baki tersebut, anda boleh sasarkan untuk membayar lebih daripada bayaran minimum kerana dengan cara ini dapat mengurangkan baki hutang terkumpul dengan lebih cepat. Namun, jika anda hanya mampu membayar dengan jumlah minimum, pastikan ia hanyalah untuk satu tempoh masa pendek sahaja.

Jika anda membuat pembayaran bagi sesuatu barangan yang mahal, anda boleh memilih untuk membayar melalui skim bayaran mudah yang disediakan oleh pengeluar kad kredit anda. Skim tersebut membantu anda untuk membahagikan kos belian dalam satu jangka masa, contohnya 6-12 bulan tanpa dikenakan sebarang kos kewangan jika anda membayar mengikut jadual. Tambahan pula, elakkan daripada mengambil wang tunai pendahuluan melalui kad kredit kecuali jika keadaan terdesak. Hadkan juga bilangan kad kredit yang anda miliki dan jika perlu, batalkan sahaja penggunaan kad kredit tersebut.

Ketiga, kurangkan hutang anda. Anda boleh kurangkan baki pinjaman anda jika anda mempunyai wang lebihan contohnya daripada bayaran bonus. Ini bagi mengurangkan caj kewangan yang dikenakan ke atas baki kad kredit.

Keempat, gunakan kaedah pembayaran bil secara automatik. Anda boleh mempertimbangkan kaedah pembayaran secara automatik bagi bil-bil yang belum dibayar dapat dibayar pada masa yang ditetapkan. Sebagai contoh, anda boleh membuat arahan tetap untuk pembayaran nominal dengan institusi perbankan anda untuk mendebit dana daripada akaun deposit bagi membayar ansuran bulanan anda (setiap bulan bayaran ansuran anda akan ditolak secara automatik). Selalu menangguhkan pembayaran bil bulanan boleh menyebabkan hutang yang tertunggak Membayar bil lewat akan menyebabkan anda dikenakan caj penalti dan sebagainya. ini akan menambahkan lagi beban kewangan anda.

Kelima, buat belanjawan. Sediakan satu pelan belanjawan dan berbelanjalah mengikut pelan itu. Dengan cara ini, anda boleh mengetahui perbelanjaan anda dan mengelakkan daripada terlebih belanja. Mulakan dengan menyenaraikan pendapatan anda daripada semua sumber. Kemudian, anda senaraikan perbelanjaan tetap, termasuk pembayaran balik pinjaman secara tetap seperti ansuran rumah dan kenderaan bermotor serta bayaran kad kredit. Seterusnya, senaraikan perbelanjaan berubah seperti bil utiliti dan makanan. Akhirnya, kira kedudukan kewangan anda, iaitu pendapatan tolak perbelanjaan anda (tetap dan berubah). Tambahan pula, kita hendaklah sentiasa merekodkan perbelanjaan bulanan supaya kita tahu ke mana perginya gaji kita setiap bulan. Merekodkan perbelanjaan boleh mengawal perbelanjaan kita. Kedudukan kewangan anda boleh menunjukkan lebihan belanjawan (pendapatan melebihi perbelanjaan) atau defisit belanjawan (perbelanjaan melebihi pendapatan). Jika belanjawan anda melebihi defisit, anda perlu mengambil langkah pemulihan segera untuk menangani defisit itu.

Keenam, mulakan simpanan anda. Mulakan simpanan anda dengan mempunyai satu pelan simpanan kerana ini akan mengurangkan keperluan untuk memimjam bagi pembelian kecil. Anda juga mungkin ingin mengumpul dana kecemasan perlulah cukup untuk membiayai perbelanjaan tetap anda (yang biasanya tidak berubah dari sebulan ke sebulan) bagi tempoh 3 hingga 6 bulan. Perbelanjaan tetap termasuk pembayaran balik pinjaman secara tetap, seperti ansuran rumah, kenderaan bermotor dan juga bayaran kad kredit.

Beringatlah sebelum anda terjebak dalam hutang. Berbelanjalah mengikut kemampuan bukan kemahuan. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi. Perubahan adalah bermula dari diri anda semua.

RUJUKAN

Bank Negara Malaysia (2006). Menguruskan Hutang Anda.
Mona Ahmad (2009, Oktober 26). Menangani Kemelut Terlebih Berbelanja. Berita Harian.
Shamsuddin Abdul Kadir (2007). Hidup Tenang Walaupun Berhutang. Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd