Tip lanjutkan hayat telefon bimbit anda Print
Thursday, 21 July 2011 03:55

Perkembangan teknologi telekomunikasi telefon mudah alih (wireless) berkembang begitu cepat sehingga hampir tidak terkejar oleh kebanyakan pengguna biasa, yang lazimnya hanya mahukan suatu peranti untuk berhubung dengan orang lain dengan cepat.

Telefon bimbit yang begitu canggih dan pelbagai fungsi itu kini semakin mengecil dan dipenuhi dengan begitu banyak fungsi-fungsi baru, seperti menjadi PDA, menjaga kalendar anda dan banyak lagi fungsi lain yang pastinya membuatkan pengguna sanggup mengeluarkan jumlah wang yang agak besar untuk memiliki telefon bimbit yang mempunyai teknologi canggih dan menambat hati mereka.

Di sebalik kecanggihan fungsi-fungsi mod telekomunikasi tersebut, ia bukanlah suatu alat yang lasak dan tidak memerlukan perhatian dan penjagaan berterusan penggunanya. Seperti kebanyakan peranti yang bersifat elektronik, telefon bimbit mestilah dijaga dengan cermat. Untuk itu, syarikat-syarikat telekomunikasi menyarankan beberapa tip untuk memastikan telefon bimbit pengguna tahan lebih lama:

Tip 1
Kebanyakan telefon bimbit tidak tahan hentakan, tidak kalis air dan tidak kalis habuk. Binaan litar elektronik di dalam semua telefon bimbit adalah amat halus, dan sebarang pendedahan kepada kepanasan, kelembapan dan cecair yang mengandungi mineral boleh menyebabkan hakisan ke atas litar-litar elektronik tersebut.

Tip 2
Pengguna disarankan supaya mengelak daripada mengendalikan telefon bimbit dengan cara kasar, seperti menjatuhkannya dan menghentaknya kerana ia pasti akan merosakkan papan litar dalaman. Pendedahan kepada tempat berhabuk yang kronik boleh menyebabkan kotoran halus memenuhi ruang-ruang kecil pada permukaan telefon.

Tip 3
Pengguna dinasihatkan membersihkan telefon bimbit dengan mengelapnya menggunakan kain lembut yang telah dibasahkan sedikit dengan sabun dan air. Namum begitu penggunaan bahan kimia menghakis, pelarut pembersih, serbuk pencuci atau larutan pencuci yang kuat boleh merosakkan telefon bimbit.

Tip 4
Kelasakan sesebuah telefon bimbit juga bergantung kepada ketahanan alat-alat elektronik dan bahan plastic tertentu. Suhu terlalu tinggi akan merosakkan komponen-komponen tersebut. Begitu juga jika telefon diletakkan di tempat yang terlalu sejuk, seperti peti ais atau tempat sejuk beku (freezer). Ini adalah kerana apabila telefon itu digunakan semula pada suhu biasa, lembapan (condensation) akan terbentuk di dalam telefon yang pastinya akan merosakkan papan litar elektronik, dan merosakkan memori dan fungsi paparan.

Tip 5
Penyelenggaraan bateri dan alat pengecas dengan baik juga amat penting ke arah menjamin prestasi optimum telefon bimbit pengguna. Kedua-dua komponen tersebut juga amat sensitive terhadap suhu sekeliling dan haba.

Jika bateri dicas terlalu lama, ia akan menjadi terlalu panas dan memendekkan hayat bateri, dan prestasinya akan menurun dan jangka masa bersedia (standby) dan komunikasi akan menjadi lebih singkat.

Sumber: Berita harian, 9-11-2009