Pemeriksaan Berkala - Elak Terkandas |
Thursday, 21 July 2011 03:14 |
SAMA ada anda menggunakan kereta terpakai atau baru, aspek yang perlu diambil berat adalah prestasi serta keselamatannya. Jika bercadang membeli kereta terpakai, seboleh-bolehnya bawa bersama mekanik atau rakan yang mahir bagi memeriksa kenderaan yang hendak dibeli,membolehkan kita mengesan kerosakan.
Bagi memastikan kenderaan sentiasa berada dalam keadaan selamat dan tidak bermasalah, pemilik dinasihatkan melakukan penyelenggaraan secara berkala. Dapatkan nasihat Bari pusat servis supaya anda boleh lakukan sendiri apabila mempunyai waktu lapang.
Dengan adanya rutin penjagaan secara berkala, pengguna mengetahui keadaan kenderaan seperti mengesan bahagian atau komponen yang haus atau rosak dan perlu diganti. Keadaan ini perlu dilakukan untuk mengelak kereta tidak berfungsi ketika dalam perjalanan, terutama ketika kesesakan lalu lintas dan perjalanan jauh. Suatu langkah bijak ialah pemilik kenderaan menjadualkan menyelenggaraan dan menetapkan waktu yang sesuai untuk kerja membaikinya.
Ramai yang tidak mengambil berat untuk melakukan pemeriksaan, sebaliknya hanya mengharapkan pusat servis melakukannya sedangkan antara tempoh servis itu, pelbagai masalah boleh berlaku.
Sekurang-kurangnya seminggu sekali periksa bahagian enjin, terutama tahap minyak pelincir, cecair brek dan stereng kuasa, air dan air bateri.Jika tahap minyak pelincir berkurangan,periksa kemungkinan berlaku kebocoran kerana minyak pelincir tidak akan berkurangan jika enjin sempurna.
|