Dana Kecemasan
Home Simpanan Dana Kecemasan
Dana Kecemasan PDF Print E-mail
Tuesday, 19 July 2011 23:09

Anda mungkin pernah mendengar pepatah ini, “Apabila hujan, ia turun dengan lebat!” Ini adalah benar, lebih-lebih lagi dalam masalah kewangan kerana kesan gandaan. Oleh itu, anda dinasihatkan agar menyediakan satu Dana Kecemasan anda sendiri sebelum tsunami kewangan melanda!

Apakah yang dimaksudkan “Dana Kecemasan”?

“Dana kecemasan” biasanya adalah satu dana yang anda cipta untuk membayar perbelanjaan di luar jangkaan.  Sebagai contoh:

  • Tayar-tayar kereta anda perlu ditukar dengan tayar yang baru.
  • Rumah anda penuh dengan anai-anai dan memerlukan rawatan.
  • Anak anda mempunyai masalah apendiks dan memerlukan pembedahan.
  • Gigi geraham anda perlu dicabut.
  • Tiba-tiba syarikat anda bankrap.

Senarai ini boleh berterusan panjangnya dan anda mungkin tidak mengalami hanya satu daripadanya, tetapi semuanya secara serentak! Itulah masanya berlaku “hujan lebat”!

Mengapa Saya Memerlukan “Dana Kecemasan”?

Sepertimana yang dikatakan oleh Forrest Gump dalam filemnya “Life is like a box of chocolates… you’ll never know what you’ll get!” (“Hidup ini seperti sebuah sekotak coklat... anda tidak akan tahu apa yang anda akan dapat!”). Kehidupan setiap orang mempunyai turun naiknya, hari cerah dan hari hujan.  Apabila anda menyimpan untuk waktu kecemasan, anda melindungi diri anda dan keluarga anda. Anda bersedia untuk menghadapi situasi-situasi yang tidak diduga. Pada waktu itulah anda memerlukan lonjakan tambahan “Vitamin M” (duit kecemasan).

Amat mudah untuk terperangkap dalam hutang (lebih-lebih lagi hutang kad kredit dan “Ah Long”), jika anda tidak mempunyai duit simpanan. Anda tetap mahu membayar bil dan memastikan hutang kad kredit sentiasa rendah, walaupun ketika sesuatu yang tidak diduga berlaku ke atas diri anda.

Oleh kerana tiada siapa yang tahu masa hadapan, maka semua orang memerlukan dana kecemasan.

Bagaimana saya boleh menyimpan, sedangkan saya tidak mempunyai banyak duit?

Anda mungkin berfikir yang tiada baki duit yang dapat disimpan selepas membayar semua bil. Ramai orang, tidak kira berapa banyak duit yang mereka ada, mengatakan mereka tidak dapat menyimpan. Itu adalah kerana perbelanjaan biasanya meningkat sehingga ia menggunakan semua duit lebihan anda.

Namun, hanya anda sahaja yang boleh mengubah  keadaan ini. Begini caranya:

  • Bayar diri anda sendiri terlebih dahulu
  • Cipta satu “akaun simpanan automatik” yang membolehkan anda mengeluarkannya ketika kecemasan
  • Berbelanjalah secara yang bijak
  • Tetapkan beberapa syarat untuk menggunakan duit, iaitu syarat yang BENAR-BENAR ketat!
  • Cuba sehingga anda berjaya tetapi jangan putus asa!!

Apakah yang dimaksudkan “Bayar Diri Anda Sendiri Terlebih Dahulu”?

Pada kebanyakan masa apabila kita mendapat gaji, kita mula membayar untuk itu dan ini, dan kepada orang lain terlebih dahulu, hanya selepas itu kita menyimpan bakinya. Ini adalah terbalik. Ia adalah duit anda dan anda berhak menyimpan sebahagiannya untuk diri dan keluarga anda.

Jangan berputus asa jika anda hanya dapat menyimpan sedikit. Menyimpan satu Ringgit sehari atau RM10 seminggu, mungkin tidak banyak tetapi di hujung tahun, anda akan mempunyai RM365 atau RM520. Seperti pepatah Melayu ada mengatakan, “Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit!” Adalah lebih baik untuk menyimpan sedikit setiap minggu daripada cuba menyimpan dengan banyak dan gagal.

Jadi, kuncinya ialah menjadikan tabiat menyimpan duit setiap kali mendapat gaji. Apabila anda menyimpan terlebih dahulu, anda akan dapat memastikan perbelanjaan mengikut baki duit yang ada. Jika anda tidak nampak duit, anda tidak berpeluang untuk membelanjakannya. Seperti yang dikatakan, “Out of sight, out of mind!” (“Apa yang tidak dapat dilihat, tiada dalam minda!”).

Berapa banyak yang patut saya simpan?

Sebagai garis panduan, simpan sekurang-kurangnya 10% daripada pendapatan anda. Walau bagaimanapun, ini bukanlah sesuatu yang dapat selalu dilakukan. Adalah lebih baik bermula dengan jumlah yang anda selesa dan secara perlahan-perlahan menuju ke arah matlamat itu. Sudah tentu jika anda boleh menyimpan lebih banyak, itu adalah lebih baik.

Matlamat anda adalah untuk mencipta dana kecemasan yang cukup untuk tiga bulan hingga enam bulan perbelanjaan bulanan anda. Anda boleh melakukannya dengan cuba menyimpan perbelanjaan seminggu, kemudian dua minggu dan secara perlahan-lahan bertambah kepada sebulan dan seterusnya.

Ingat: Mendapat tabiat meyimpan adalah lebih penting daripada berapa banyak yang anda simpan!

Di manakah saya patut menyimpan “Dana Kecemasan” saya?

Dana kecemasan anda patut disimpan dalam satu akaun yang mudah untuk anda keluarkan dalam waktu-waktu kecemasan. Namun ia tidak patut menjadi terlalu mudah untuk anda menggunakannya dengan sesuka hati anda. Anda mungkin memilih untuk membuka Akaun Simpanan dengan bank tetapi memilih untuk tidak memiliki kad ATM. Alternatifnya, anda juga boleh memilih untuk melabur sebahagian daripadanya ke dalam dana Amanah Saham kerajaan. Pilih dana yang dapat memastikan keselamatan kepada modal anda, sementara memberikan pulangan yang berpatutan.

Apabila anda mendapat pendapatan, ingat untuk membayar diri anda sendiri terlebih dahulu. Cara yang mudah untuk melakukan ini ialah dengan berdaftar dengan skim potongan gaji. Anda boleh mengarahkan majikan anda atau bank anda untuk menyimpan sebahagian daripada gaji anda ke dalam akaun simpanan/amanah saham anda setiap bulan. Ingat bahawa akaun ini adalah untuk kecemasan sahaja dan seboleh yang mungkin, anda tidak akan menggunakannya untuk tujuan lain!

Perlindungan Insurans

Selain menyediakan belanjawan, anda juga disaran untuk mendapatkan perlindungan insurans atau menyertai pelan takaful.  Ini kerana insurans adalah instrumen kewangan yang boleh melindungi anda serta waris anda daripada sesuatu kegawatan kewangan yang disebabkan peristiwa yang tidak diingini seperti kematian, kekurangan upaya atau penyakit yang serius.  Insurans akan membantu menyediakan sedikit bantuan kewangan bagi keluarga anda, terutamanya jika anda adalah pencari nafkah utama.  Oleh itu, melabur dalam pelan insurans semasa anda masih muda dan sihat adalah digalakkan.
Apabila menyertai skim insurans atau takaful, anda akan membayar sedikit wang kepada syarikat insurans/takaful dan akan berkongsi risiko tertentu dengan orang lain.  Sekiranya ditimpa musibah, wang yang disumbang itu akan diguna untuk meringankan bebanan pemilik insurans atau peserta takaful, melalui pampasan yang diberikan, sekaligus mengurangkan keperluan kepada dana kecemasan yang besar untuk seseorang.

Contohnya, anda mungkin perlu dana kecemasan yang mencecah ribuan ringgit untuk menghadapi kemungkinan jatuh sakit (untuk kos perubatan dan sebagainya).  Sekiranya anda membeli insurans atau menyertai takaful, anda cuma perlu membayar jumlah wang yang kecil, mungkin tidak sampai RM100 setahun sahaja bagi tujuan dana kecemasan jika ditimpa penyakit.  Terdapat pelbagai skim insurans dan takaful yang dapat membantu anda menghadapi saat-saat genting dalam hidup seperti kematian, kemalangan, rumah terbakar atau kecurian dan sebagainya.  Dengan membeli insurans atau menyertai mana-mana skim takaful, membina dana kecemasan menjadi lebih murah dan mudah untuk anda dan keluarga.

Bagaimana saya boleh tahu bila “Dana Kecemasan” dapat digunakan?

Keputusan ini bergantung pada situasi anda. Anda perlu memikirkan hal ini dengan lebih awal. Buat beberapa syarat untuk situasi yang anda boleh gunakan duit ini, supaya anda tidak membazirkannya. Kemudian patuhi syarat-syarat anda sendiri!

Soalan-soalan berikut mungkin boleh membantu anda dalam menetapkan beberapa syarat:

  • Adakah perbelanjaan ini satu Keperluan atau Kehendak?
  • Adakah saya benar-benar perlu membelinya hari ini?
  • Apa yang akan berlaku jika saya tidak membelanjakannya sekarang?
  • Bolehkah saya mendapat pengganti yang lebih murah?
  • Adakah cara lain untuk saya membayar perbelanjaan ini tanpa perlu berhutang?
  • Jika saya menggunakan duit ini hari ini, bagaimana perasaan saya tentang keputusan saya ini pada bulan depan?

Sentiasa ingat bahawa ini adalah “Dana Kecemasan” anda dan jika ia bukan kecemasan, anda tidak akan menyentuhnya! Tiada alasan!

Kesimpulan
Terdapat satu lagi pepatah Melayu yang mengatakan bahawa “Sediakan payung sebelum hujan.” “Dana Kecemasan” ini adalah payung anda dan pastikan ia cukup besar untuk melindungi anda apabila hujan (tetapi pastikan tidak ada kebocoran!)

Jadi, mula bina dana ini sekarang dan ia mungkin penyelamat anda suatu hari nanti.


Artikel ini adalah sumbangan dari Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). AKPK merupakan sebuah agensi yang ditubuhkan oleh  Bank  Negara  Malaysia sejak 2006,  dan mereka menawarkan perkhidmatan dari segi pendidikan kewangan, kaunseling kewangan dan program pengurusan kredit. Hubungi  AKPK  melalui  1-800-88-2575  atau layari  laman  web www.akpk.org.my. AKPK turut berada di www.youtube.com, www.facebook.com dan juga di www.twitter.com/AKPK1. Perkhidmatan AKPK kepada individu adalah percuma.