Prinsip Meminjam
Home Pinjaman Prinsip Meminjam
Prinsip Meminjam PDF Print E-mail
Tuesday, 19 July 2011 22:55

Apakah Komponen Utama Pinjaman?
Semua pinjaman, sama ada pinjaman kereta, pinjaman rumah atau pinjaman peribadi, terdiri daripada tiga komponen utama: kadar faedah, cagaran dan tempoh.

Kadar Faedah
Kadar faedah ialah caj yang dikenakan oleh pemberi pinjaman kerana menggunakan duit mereka. Biasanya kadar faedah ditunjukkan dalam bentuk peratusan daripada jumlah pinjaman dalam setahun. Faedah yang dikenakan berdasarkan pengkompaunan (iaitu faedah-atas-faedah) dan ia boleh terdiri daripada pengkompaunan tahunan/ bulanan/ harian (satu lagi istilah yang digunakan ialah kiraan atas baki tahunan/bulanan/harian).

Terdapat dua jenis kadar faedah: tetap atau boleh ubah
Kadar tetap: tetap dan tidak berubah. Jika kadar faedah tetap anda ialah 6% setahun, ia akan kekal 6% setahun sepanjang tempoh pinjaman.
Kadar boleh ubah boleh bertukar mengikut masa dan biasanya ditetapkan pada kadar pasaran standard, seperti Kadar Pemberian Pinjaman Asas, BLR (BLR terkini = 6.75%). Sebagai contoh, anda mungkin mengambil pinjaman dengan kadar boleh ubah pada BLR + 1%. Ini bermakna, anda perlu membayar tambahan satu peratus kepada BLR atau berjumlah 7.75% setahun.

Cagaran
Semua pinjaman adalah sama ada bercagar atau tidak bercagar. Ini merujuk kepada sama ada pemberi pinjaman menghendaki anda mencagarkan aset, biasanya dirujuk sebagai cagaran, untuk menjamin pinjaman anda.

Jika anda mempunyai pinjaman bercagar, bermakna pemberi pinjaman anda boleh merampas aset jika anda gagal menjelaskan hutang pinjaman. Oleh kerana terdapat cara alternatif pembayaran balik, faedah dalam pinjaman bercagar adalah lebih rendah berbanding dengan faedah pinjaman tidak bercagar.

Apabila anda membiayai pembelian kereta anda melalui pinjaman bank, anda sebenarnya adalah penyewa (bukan pemilik) kereta yang anda pandu sehingga anda selesai membayar sepenuhnya pinjaman anda! Begitulah juga dalam kes pinjaman rumah, bank akan memiliki 'tuntutan pemilikan' terhadap rumah tersebut sehingga anda selesai membayar sepenuhnya pinjaman rumah.

Dalam pinjaman tidak bercagar, tiada aset yang boleh dirampas oleh bank jika mungkir membayar balik pinjaman. Bersama dengan risiko ini, pinjaman tidak bercagar selalunya mempunyai kadar faedah yang lebih tinggi berbanding dengan pinjaman bercagar. Untuk mengurangkan risiko, institusi pemberian pinjaman kadangkala menghendaki orang ketiga menandatangani perjanjian bagi pinjaman tidak bercagar atau menjamin jumlah pinjaman.

Tempoh
Tempoh suatu pinjaman ialah jangka masa si peminjam perlu membayar balik pinjaman. Kebanyakan pinjaman peribadi/kereta mempunyai tempoh tiga hingga sembilan tahun, manakala tempoh pinjaman rumah adalah jauh lebih lama dan biasanya boleh mencapai sehingga 30 tahun! Tempoh adalah jangka masa maksimum untuk si peminjam membayar balik pinjaman mereka; pinjaman boleh dijelaskan sebelum tempoh tamat (tetapi mungkin denda akan dikenakan untuk penyelesaian awal!)

Apakah Prinsip Asas Meminjam?
Setelah memahami komponen-komponen pinjaman, kita sekarang sudah bersedia untuk mempelajari beberapa prinsip asas meminjam.

Prinsip 1: Meminjam untuk sesuatu yang anda perlukan – bukan yang anda mahukan.

Sebelum ini, kita sudah membincangkan tentang perbezaan antara Keperluan dan Kehendak, malah dalam situasi meminjam, perbezaan ini amatlah penting untuk kita fahami. Anda hanya perlu meminjam untuk suatu yang anda benar-benar perlu tetapi tidak mempunyai duit tunai untuk membayarnya. Sebagai contoh, untuk membeli rumah, untuk membiayai pendidikan lanjutan anak-anak anda dan untuk membeli sebuah kereta.

Prinsip 2:Meminjam sejumlah duit di dalam kemampuan anda untuk membayar balik.
Ini mungkin logik tetapi malangnya, ia bukan amalan biasa. Ramai orang terlebih memberi komitmen dalam hutang kerana menyangka bahawa ekonomi akan terus berkembang dan situasi yang baik akan terus kekal. Tidak perlu dikatakan, bila tiba masanya, mereka ini akan menghadapi kesukaran untuk membuat bayaran balik dan perampasan kereta dan harta mula dikuatkuasakan. Sebagai contoh, krisis pinjaman terkini di Amerika Syarikat.

Adalah disarankan bahawa seseorang patut mengehadkan jumlah bayaran balik pinjaman kepada, kurang daripada 1/3 pendapatan kasarnya.

Prinsip 3: Elakkan daripada meminjam untuk membiayai aset yang susut nilai
Prinsip ini mungkin tidak disukai oleh sesetengah orang, tetapi ia adalah prinsip yang baik untuk diikuti. Aset yang susut nilai adalah harta yang hilang nilainya mengikut masa, seperti kereta (melainkan anda “melabur” dalam kereta klasik), perabot dan peralatan rumah. Anda tidak memerlukan seorang pakar ekonomi untuk memberitahu anda bahawa meminjam dengan bunga yang agak tinggi (mungkin setinggi 20% setahun untuk sesetengah barang!) untuk membeli “aset-aset” ini, tidak ekonomik langsung. Barangan ini akan susut nilai dengan cepat sementara pinjaman anda berkurangan dengan agak lambat. Dalam situasi yang anda tidak dapat menjelaskan hutang, barangan tersebut akan dirampas dan anda mesti menambah nilai yang kurang kerana aset susut nilai anda tidak cukup untuk menjelaskan baki pinjaman.

Prinsip 4: Elakkan Daripada Menjadi Penjamin
Seorang penjamin bertanggungjawab menjelaskan pinjaman sekiranya peminjam mungkir membayar balik pinjaman atas apa saja alasan. Melainkan seorang itu bersedia untuk menunaikan tanggungjawab ini, seorang patut elak daripada menjadi penjamin.

Prinsip 5: Si Peminjam Mempunyai Komitmen Moral dan Mutlak Untuk Membayar Balik
Pernahkah anda bertemu dengan seseorang yang telah meminjam daripada anda tetapi masih belum membayar balik? Bagaimana anda rasa? Kecewa? Ditipu? Dikhianati? Ya, ia memang bukan satu perasaan yang baik dan anda tidak patut memberi sebarang alasan untuk tidak membayar balik hutang apabila anda telah berjanji untuk melakukannya.
Jika anda menghadapi kesukaran untuk membayar balik, berbincanglah dengan pemberi pinjaman agar dapat membuat pelan bayaran balik yang munasabah, tetapi jangan sesekali berdiam diri atau lari. Jika tidak, jangan pinjam!

Kesimpulan
Jika anda perlu pinjam, pinjamlah! Walau bagaimanapun, pastikan anda sudah memahami secara jelas prinsip-prinsip meminjam sebelum memberi komitmen padanya. Setelah anda meminjam, hakikatnya anda telah membuat komitmen untuk membayar balik dan pastikan diri anda, sebagai seorang yang bertanggungjawab, menunaikan komitmen tersebut pada setiap masa.


 

Artikel ini adalah sumbangan dari Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). AKPK merupakan sebuah agensi yang ditubuhkan oleh  Bank  Negara  Malaysia sejak 2006,  dan mereka menawarkan perkhidmatan dari segi pendidikan kewangan, kaunseling kewangan dan program pengurusan kredit. Hubungi  AKPK  melalui  1-800-88-2575  atau layari  laman  web www.akpk.org.my. AKPK turut berada di www.youtube.com, www.facebook.com dan juga di www.twitter.com/AKPK1. Perkhidmatan AKPK kepada individu adalah percuma.