Membeli-Belah Secara Bijak
Home Perbelanjaan berhemat Membeli-Belah Secara Bijak
Membeli-Belah Secara Bijak PDF Print E-mail
Tuesday, 19 July 2011 22:34

Melihat keghairahan orang ramai berbelanja menjelang musim perayaan kadangkala memang boleh mencetuskan kekecohan, bagaikan rezeki setahun yang dicari mahu dihabiskan dalam masa sehari. Para penjual mula mengambil kesempatan dengan mengumpan tawaran istimewa itu dan ini sehingga membuatkan pengguna kelabu mata dan berbelanja semahunya.

Pengguna berhak diberi peluang untuk memilih barang-barang atau perkhidmatan pada harga yang berpatutan dan mutu yang memuaskan. Setiap kali pengguna membeli barangan atau perkhidmatan, maka ia seperti telah mengikat kontrak dengan penjualnya. Dalam hal ini tanggungjawab pengguna hanyalah perlu memilih barangan atau perkhidmatan yang diingini dan membayar yang ditetapkan oleh penjual untuk mendapatkannya.


Mari kita lihat apakah perkara yang harus diamalkan:

Sebelum anda membeli-belah
Apabila anda ingin membeli sesuatu, tanyalah diri anda - Adakah saya memerlukannya? Adakah saya mampu membelinya?  Bajet peribadi dan aliran tunai anda boleh membantu menjawab soalan ini. Semak terlebih dahulu sekiranya anda telah membuat peruntukan bagi perbelanjaan ini ataupun anda telah berbelanja lebih bagi bulan tersebut.   

  1. Buat senarai barangan yang hendak dibeli.
  2. ‘Window-shop’ tanpa membawa wang yang banyak.
  3. Jangan jadikan membeli belah sebagai satu tabiat untuk melepaskan tekanan.
  4. Sekiranya kita hendak membeli sesuatu barang yang khusus pastikan kewangan kita mencukupi. Jika tidak kita mungkin akan membeli secara kredit.
  5. Jangan bawa anak-anak yang sering mendesak untuk membeli sesuatu yang kurang perlu atau keluar dengan rakan-rakan yang memang suka membeli belah.
  6. Tinggalkan kad kredit di rumah untuk mengelak belanja secara berlebihan.
  7. Jangan membawa wang yang banyak. Bawalah yang mencukupi sahaja
  8. Jangan membeli belah untuk menunjuk-nunjuk pada pesaing, rakan ataupun jiran.
  9. Kurangkan tabiat mendapatkan maklumat mengenai barangan yang kita minat di laman web jualan lelong seperti lelong.com atau mudah.my. Ini kerana kita mungkin terjumpa dengan barangan yang diminati dalam harga yang murah walaupun sebenarnya kita belum memerlukan barangan berkenaan pada waktu itu.
  10. Jangan amalkan singgah di pasar raya apabila pulang ke rumah dari tempat kerja.
  11. Rancang tempat untuk membeli belah bagi menjimatkan penggunaan bahan api dan masa. Belilah barang keperluan dengan sekali pergi sahaja.
  12. Semasa anda membeli-belah

Bersederhana dalam perbelanjaan.

  1. Kualiti produk mungkin sama dengan jenama lebih murah.
  2. Jangan mudah terpengaruh tawaran istimewa.
  3. Buat perbandingan harga.
  4. Sentiasa memeriksa resit pembelian barangan untuk mengelakkan terlebih bayar atau berlaku kesilapan semasa pengiraan pembelian
  5. Jangan ke bahagian makanan di pasar raya dalam keadaan perut kosong.
  6. Periksa rak bawah barangan di pasar raya sekiranya barangan itu tidak dinaikkan harga
  7. Beli ketika jualan murah, tetapi kawal diri supaya tidak terlebih belanja.
  8. Untuk jualan murah, sila teliti kualiti barangan yang dipamerkan dan pastikan barangan yang dipamer itu di bawah promosi.
  9. Tawar harga barangan seberapa boleh jika membeli di kedai biasa.
  10. Ketahui dan dapatkan maklumat mengenai hak-hak pembeli seperti polisi pemulangan, kos penghantaran dan sebagainya.
  11. Berani mengatakan “tidak” sekiranya tidak memerlukan barangan yang ditawarkan.
  12. Jangan berbelanja lebih terutamanya jika anda tidak ada kemampuan.
  13. Periksa keseluruhan kedai untuk mendapatkan harga terbaik.
  14. Beli produk keluaran tempatan (Buatan Malaysia). Ia menjimatkan bahan api dan mengurangkan pelepasan karbon dioksida yang keluar semasa proses penghantaran.
  15. Beralih kepada barangan yang boleh digunakan semula. Ini mengurangkan barang buangan dan menjimatkan sumber tenaga.

Selepas anda membeli-belah

  1. Buat aduan terhadap barang yang rosak jika masih dalam waranti.
  2. Kira semula wang yang telah anda belanjakan. Jika masih ada baki, simpan wang tersebut. Sekiranya perbelanjaan anda sudah melebihi bajet, atur semula perbelanjaan anda, dan pastikan anda tidak mengulangi kesilapan ini lagi.
  3. Kekalkan barangan yang anda telah beli dalam keadaan yang boleh dikembalikan atau dijual semula. anda perlu  memastikan polisi pemulangan semula barangan di kedai tersebut sekiranya mahu memulangkan semula barangan yang anda tidak perlukan.

Kesimpulan
Sekiranya, pembelian barangan tersebut merupakan suatu kehendak, pertimbangkan untuk tidak membelinya atau belilah sesuatu yang serupa tetapi pada harga yang lebih murah supaya anda boleh menambah simpanan. Dengan berbuat demikian, anda telah berbelanja secara berhemat dan hidup mengikut kemampuan anda.

Membuat pilihan munasabah ketika membeli dan berbelanja secara berhemat akan mencegah anda serta orang lain daripada menghadapi masalah kewangan. Mengendalikan kewangan peribadi anda secara bertanggungjawab adalah mudah jika anda mula belajar mengatakan ‘tidak’ sekiranya anda tidak mampu membelinya.

Ambillah masa untuk memikirkan sama ada perlu untuk membelanjakan wang dan adakah anda mampu berbelanja mengikut bajet yang telah disediakan? Ingat, apabila anda berkata ‘tidak’ untuk berbelanja sekarang (dengan menangguhkan kepuasan), anda berada selangkah lebih hampir untuk mencapai impian kewangan anda.

Dalam kehidupan, sentiasa ada alternatif untuk membuat pilihan lain. Tinjau pengganti lain bagi keperluan dan kehendak anda. Tukar tanggapan atau persepsi anda, jika perlu. Daripada membeli kereta, gunalah pengangkutan awam sebagai alternatif untuk pergi ke bandar. Justeru anda bukan saja dapat menjimatkan wang, malah  boleh menyumbang secara positif kepada alam sekitar.

Last Updated on Tuesday, 19 July 2011 22:37