Home Perbankan Soalan Lazim Akaun Semasa
Soalan Lazim Akaun Semasa PDF Print E-mail
Tuesday, 19 July 2011 22:19

Di manakah saya boleh membuka akaun semasa?

Anda boleh membuka akaun semasa di mana-mana bank perdagangan atau bank Islam.


Bolehkah saya menulis cek tarikh hadapan?

Amalan mengeluarkan cek tarikh hadapan adalah tidak digalakkan. Ini adalah untuk mengelakkan insiden cek tersebut dikembalikan akibat kekurangan dana dan pengenaan caj penalti.


Sekiranya cek ditulis untuk dibayar kepada sebuah syarikat, contohnya ABC Sdn Bhd atau "pembawa", bolehkah "pembawa" cek tersebut menunaikannya di kaunter?

Tidak. Umumnya bank akan meminta anda mendepositkan cek tersebut ke dalam akaun ABC Sdn Bhd untuk mengurangkan insiden penipuan.

 

Bolehkah sesuatu cek dikeluarkan kepada dua pihak, iaitu, A atau B?

Ya. Sesuatu cek boleh dikeluarkan untuk dibayar kepada A atau B.

 

Bolehkah cek "akaun penerima sahaja" dipindah milik?

Tidak. Apabila sesuatu cek dipalang dengan "tidak boleh niaga" atau "akaun penerima sahaja", cek tersebut hendaklah didepositkan ke dalam akaun penerima.

 

Berapa lamakah tempoh sah laku sesuatu cek?

Lazimnya, tempoh laku sesuatu cek adalah 6 bulan dari tarikh cek. Selepas tempoh tersebut, cek berkenaan dianggap sebagai "cek luput". Anda dinasihatkan supaya mengemukakan cek untuk pembayaran dalam tempoh yang sewajarnya dari tarikh cek tersebut dikeluarkan bagi mengelakkan daripada cek dikembalikan kerana ketidakcukupan dana di dalam akaun. Anda juga dinasihatkan supaya mendapatkan cek ganti apabila tempoh laku cek tersebut telah berakhir. Walau bagaimanapun, mungkin wujud situasi yang mana pihak yang mengeluarkan cek mengehadkan tempoh laku cek kepada kurang daripada 6 bulan. Dalam hal ini, tempoh laku cek tersebut akan dicetak dengan jelas pada muka cek.

 

Apa yang harus saya lakukan sekiranya saya ingin menutup akaun saya?

Berikan arahan bertulis kepada bank anda untuk menutup akaun tersebut dan kembalikan semua cek yang belum digunakan kepada pihak bank untuk pembatalan. Di samping itu, sekiranya anda telah mengeluarkan cek tetapi masih belum dijelaskan, anda hendaklah mendapatkan semula cek tersebut.

 

Mengapakah pihak bank enggan menerima cek saya yang telah dipinda tetapi ditandatangan balas oleh saya?

Sebarang pindaan ke atas cek adalah tidak dibenarkan demi melindungi pengguna daripada sebarang penipuan. Pihak bank mempunyai hak untuk tidak menjelaskan dan mengembalikan cek yang mana pada pandangan mereka mempunyai unsur pindaan (sama ada ditandatangan balas oleh penyuruh bayar atau sebaliknya). Di samping itu, anda (pengeluar cek tersebut) akan dikenakan fi oleh bank anda untuk membayar sebahagian daripada kos pentadbiran.


Apakah perbezaan di antara cek perintah dan cek pembawa?

Cek perintah adalah cek yang ditulis untuk dibayar kepada individu atau entiti tertentu (penerima) yang tertera di atas cek. Cek pembawa adalah cek yang ditulis untuk dibayar kepada individu yang membawa cek (pembawa) berkenaan. "Cek perintah" juga boleh menjadi "cek pembawa" sekiranya perkataan "atau pembawa" tidak dibatalkan. Adakalanya, cek boleh dikeluarkan untuk bayaran "Tunai" dan cek ini dinamakan cek tunai. Umumnya, pengeluaran cek tunai adalah tidak digalakkan memandangkan ia terbuka kepada risiko penipuan. Sesetengah bank akan mengenakan fi ke atas penunaian cek pihak ketiga.

 

Apakah yang dimaksudkan dengan cek jurubank?

Cek jurubank adalah cek yang dikeluarkan oleh bank. Ini bermakna pembayaran ke atas cek tersebut dijamin oleh pihak bank. Cek ini biasa digunakan apabila pembayaran perlu dijamin, contohnya, pembayaran bagi pembelian yang besar seperti kereta atau rumah.

 

Siapakah yang bertanggungjawab menolak cek saya?

Bank pembayar bertanggungjawab menentukan sama ada pembayaran patut dibuat kepada anda.


Apakah yang boleh saya lakukan sekiranya cek yang saya depositkan dikembalikan kepada saya atas alasan "akaun ditutup"?

Anda perlu mendapatkan jumlah pembayaran tersebut secara terus daripada pihak yang mengeluarkan cek tersebut.


Apakah yang perlu saya buat sekiranya saya mendapati beberapa keping cek telah hilang daripada buku cek saya?

Anda perlu melaporkan perkara tersebut dengan segera kepada bank anda dan meminta mereka menghentikan pembayaran terhadap cek-cek tersebut.


Apakah tempoh penjelasan?

Tempoh penjelasan merujuk kepada tempoh yang diambil untuk dana daripada cek yang dijelaskan dikreditkan ke dalam akaun penerima. Tempoh yang diambil tertakluk kepada jenis cek yang didepositkan sama ada cek tersebut adalah cek dalaman, cek tempatan atau cek luar kawasan.


Mengapa bank mengenakan caj ke atas pelanggan bagi penunaian cek akaun penerima?

Untuk mengurangkan risiko kerugian akibat kejadian rompakan, kecurian dan penipuan yang melibatkan cek terbuka, bank telah mengeluarkan cek pracetak akaun penerima. Namun demikian, sesetengah bank mungkin membenarkan pemegang akaun dan penerima menunaikan cek akaun penerima melalui kaunter. Walau bagaimanapun, demi tidak menggalakkan amalan tersebut, fi akan dikenakan ke atas penunaian cek akaun penerima pihak ketiga. Fi tersebut akan dikenakan kepada penerima atau pengeluar cek, bergantung kepada amalan bank berkenaan. Oleh itu, sekiranya pembayaran tunai merupakan kaedah pembayaran yang diutamakan oleh penerima, anda harus mempertimbangkan cara pembayaran lain, contohnya melalui internet, mesin ATM, perbankan telefon atau perkhidmatan Interbank GIRO yang mana kaedah tersebut lebih terjamin dan kos efektif.

 

Adakah bank mempunyai hak untuk meminta saya menutup akaun dengan mereka?

Anda patut mendapatkan penjelasan daripada bank anda berhubung tindakan mereka. Walau bagaimanapun, bank mempunyai hak untuk menutup sesuatu akaun yang tidak dikendalikan dengan memuaskan. Di samping itu, pengendalian akaun tersebut mestilah mematuhi peruntukan undang-undang seperti Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA).


Bolehkah isteri saya mengurus akaun semasa saya semasa saya berada di luar negara?

Ya, sekiranya anda mengeluarkan mandat kepada bank anda dan pihak bank meluluskannya. Dalam beberapa keadaan, hanya pelantikan untuk jangka pendek dibenarkan, contohnya, kurang daripada 6 bulan.

Mandat tersebut mestilah menyatakan dengan jelas:

  • Identiti orang yang diberi mandat
  • Sebab-sebab dan keadaan-keadaan mandat tersebut
  • Tempoh berkuat kuasa


Apakah yang perlu saya lakukan sekiranya cek yang didepositkan oleh saya dikembalikan oleh bank dengan cop "rujuk kepada penyuruh bayar"?

"Rujuk kepada penyuruh bayar" bermaksud penjelasan perlu diperolehi daripada pihak yang mengeluarkan cek tersebut. Penjelasan tersebut mungkin berbeza di antara satu kes dengan kes yang lain, contohnya, penyuruh bayar tidak mempunyai dana yang mencukupi di dalam akaunnya. Dalam hal ini, anda perlu berurusan dengan penyuruh bayar untuk tindakan selanjutnya.


Sekiranya saya menerima cek dalam denominasi mata wang asing, apakah caj yang akan dikenakan ke atas saya dan berapa lama masa yang diperlukan untuk saya mendapat wang?

Caj yang biasa dikenakan sekiranya anda mendeposit cek dalam denominasi mata wang asing termasuk komisen, duti setem, caj ejen, caj bank pesuruh bayar, caj penghantaran dan caj pengendalian. Sesetengah caj dikenakan oleh bank luar negara (ejen/bank wakil) yang terlibat dalam penjelasan cek asing. Fi yang dikenakan mungkin berbeza di antara sebuah bank dengan bank yang lain. Anda disarankan supaya menyemak dengan bank anda.

Tempoh penjelasan cek adalah di antara satu minggu hingga satu bulan atau lebih bergantung kepada jenis mata wang dan dari negara mana cek tersebut dikeluarkan dan undang-undang lazim negara bank pembayar. Biasanya, bank penerima akan menggunakan khidmat ejen atau bank wakil untuk menjelaskan cek tersebut.

Sumber : Bank Negara Malaysia