Konsep Shariah Dalam Perbankan Islamik
Home Perbankan Konsep Shariah Dalam Perbankan Islamik
Konsep Shariah Dalam Perbankan Islamik PDF Print E-mail
Tuesday, 19 July 2011 21:37

Perbankan Islamik adalah berdasarkan prinsip undang-undang Islam (Shariah). Ianya dilaksanakan menurut Shariah, disebut sebagai fiqh muamalat (peraturan Islam dalam transaksi). Peraturan dan amalan fiqh muamalat datang daripada Quran dan Sunnah dan sumber undang-undang Islam yang kedua seperti pendapat yang telah dipersetujui oleh para ulamak (ijma’), analogi (qiyas) dan pertimbangan peribadi (ijtihad).

Konsep Shariah dalam perbankan Islamik adalah seperti berikut:

Wadiah (Simpanan)

Wadiah bermaksud jagaan atau simpanan yang selamat. Dalam aturan wadiah, anda akan deposit tunai atau aset lain di dalam bank untuk disimpan dengan selamat. Bank akan memberi jaminan keselamatan butiran yang disimpan olehnya.

 

Mudharabah (Perkongsian Keuntungan)

Mudharabah ialah aturan perkongsian keuntungan di antara dua pihak iaitu pelabur dan pengusaha. Pelabur akan menyalurkan wang kepada pengusaha untuk perusahaan perniagaan dan mendapatkan pulangan untuk wang yang telah diletakkan olehnya ke dalam perniagaan berdasarkan nisbah perkongsian keuntungan yang telah dipersetujui. Prinsip Mudharabah boleh diaplikasikan kepada operasi perbankan Islamik dalam 2 cara:

  1. antara bank (sebagai pengusaha) dan pemodal; dan
  2. antara bank (sebagai pemodal) dan pengusaha.

Kerugian akan ditanggung oleh pemodal.

  1. Anda menyalurkan wang kepada bank setelah bersetuju dengan terma aturan Mudharabah.
  2. Bank melaburkan wang tersebut di dalam aset atau projek.
  3. Perniagaan mungkin membuahkan keuntungan atau menanggung kerugian.
  4. Keuntungan dikongsi antara anda dan bank anda berdasarkan nisbah yang telah dipersetujui.

Bai’ Bithaman Ajil – (Jualan Bayaran Tertangguh)

Ianya merujuk kepada jualan barangan di mana pembeli membayar kepada penjual selepas jualan bersama-sama margin keuntungan yang telah dipersetujui, sama ada sekaligus atau secara ansuran.

  1. Anda memilih aset yang ingin dibeli.
  2. Kemudian anda memohon bank untuk Bai’ Bithaman Ajil dan berjanji untuk membeli aset tersebut daripada bank melalui jualan semula pada harga yang dinaikkan (mark-up price).
  3. Bank membeli aset tersebut daripada pemilik secara tunai.
  4. Hak milik berpindah kepada bank.
  5. Bank menjual aset tersebut kepada anda, hak milik berpindah kepada anda pada harga yang dinaikkan.
  6. Anda membayar bank harga yang dinaikkan secara sekaligus atau secara ansuran.

Murabahah

Seperti Bai’ Bithaman Ajil, transaksi Murabahah melibatkan jualan barangan pada suatu harga yang meliputi margin keuntungan yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Tetapi, di dalam Murabahah, penjual perlu memaklumkan kepada pembeli kos sebenar untuk aset dan margin keuntungan ketika waktu perjanjian jual.

 

Musyarakah (Usaha Sama)

Di dalam konteks perniagaan dan dagangan, Musyarakah merujuk kepada perkongsian atau perniagaan usaha sama untuk memperolehi keuntungan. Keuntungan yang diperolehi akan dikongsi oleh ahli kongsi berdasarkan nisbah yang dipersetujui yang mungkin tidak sama kadarnya seperti jumlah pelaburan yang telah dibuat oleh mereka. Kerugian pula akan ditanggung berdasarkan nisbah wang yang dilaburkan oleh setiap ahli kongsi.

 

Ijarah Thumma Bai’ (Sewa Beli)

Ijarah Thumma Bai’ kebiasaannya digunakan dalam pembiayaan barangan pengguna khususnya kenderaan bermotor. Terdapat dua kontrak berasingan yang terlibat:

    1. Kontrak Ijarah (sewaan); dan
    2. Kontak Bai’ (belian).
  1. Anda memilih kereta yang ingin dibeli.
  2. Bank membayar kepada penjual untuk kereta tersebut.
  3. Penjual menyerahkan hak milik kereta kepada bank.
  4. Bank menyewakan kereta tersebut kepada anda.
  5. Anda membayar sewa Ijarah kepada bank dalam suatu tempoh.
  6. Pada penghujung tempoh sewaan, bank menjual kereta kepada anda pada harga jualan yang dipersetujui.


Wakalah (Agensi)

Ini merupakan kontrak di mana seseorang (prinsipal) mewakilkan pihak lain untuk bertindak bagi pihaknya (sebagai agen) untuk sesuatu tugas. Agen akan dibayar suatu bayaran untuk perkhidmatannya.

 

Qard (Pinjaman tanpa faedah)

Di bawah aturan ini, suatu pinjaman diberi untuk satu tempoh masa yang ditetapkan pada asas muhibah (goodwill basis) dan penghutang hanya perlu membayar semula wang yang telah dipinjam. Tetapi, penghutang dibolehkan untuk membayar jumlah ekstra (tanpa membuat janji) jika mahu sebagai tanda terima kasih kepada pemiutang.

 

Hibah (Hadiah)

Ianya merujuk kepada bayaran yang dibuat secara sukarela sebagai pulangan untuk faedah yang diterima.Contohnya, bank kebiasaannya akan memberi hibah kepada pemegang akaun wadiah walaupun mereka cuma berniat untuk meletakkan simpanan didalam bank untuk simpanan yang selamat.

Sumber: Bank Negara Malaysia.