Waspada Dengan Tanda-Tanda Penipuan
Home Penipuan Waspada Dengan Tanda-Tanda Penipuan
Waspada Dengan Tanda-Tanda Penipuan PDF Print E-mail
Tuesday, 19 July 2011 05:25

Bagaimana caranya untuk kita menjadi pengguna bijak? Kita sedia maklum bahawa skim penipuan wujud dalam pelbagai bentuk tanpa kita sedari, dan hakikatnya semua helah ini mempunyai asas yang sama. Kita sebagai pengguna haruslah sentiasa bersedia dan bersiap siaga dengan segala pengetahuan dan tanda-tanda amaran tentang skim-skim penipuan ini.

Contoh penipuan yang biasa dilaporkan adalah skim penipuan bayaran muka. Skim penipuan bayaran muka terjadi ketika mangsa yang membayar wang kepada seseorang yang ’dipercayai’ dan mangsa tersebut menjangkakan untuk menerima ganjaran dengan nilai yang lebih besar melalui pinjaman, kontrak, pelaburan atau hadiah yang dijanjikan. Namun hakikatnya mereka tidak menerima sebarang ganjaran ataupun di dalam keadaan tertentu, ada mangsa yang menerima ganjaran dalam jumlah yang sedikit, tetapi mereka tidak akan dapat menerima pulangan semula wang tersebut.  

Terdapat pelbagai jenis skim penipuan bayaran muka yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat tidak berdaftar. Skim-skim ini biasanya melibatkan jualan produk atau perkhidmatan, menawarkan pelaburan, kemenangan loteri dan berbagai-bagai lagi helah dan taktik yang digunakan. Syarikat-syarikat tidak berdaftar ini akan menawarkan perkhidmatan untuk mencari pegawai atau petugas yang akan menguruskan proses aliran kewangan tersebut hanya selepas mangsa membuat bayaran muka. Mereka akan meminta mangsa untuk menandatangani kontrak yang mana mangsa akan bersetuju untuk membayar yuran perkhidmatan dan bayaran lain yang terlibat. Mangsa hanya akan menyedari tentang helah dan penipuan itu setelah membuat bayaran dalam satu tempoh yang telah dijanjikan, tetapi hingga akhirnya, tiada sebarang ganjaran pun yang diterima. Malah, apabila mangsa menghubungi syarikat tersebut, pelbagai alasan yang diberikan, dan lebih buruk lagi apabila mangsa pergi ke pejabat syarikat tersebut, mangsa dapati bahawa pejabat itu telah ditutup.

Berwaspadalah dengan tanda-tanda amaran tentang skim penipuan ini:

  • Tawaran yang ditawarkan adalah lebih menarik daripada apa yang biasa didengari – tawaran yang jelas terdapat unsur-unsur penipuan. Sebagai contoh, bank menawarkan dividen sebanyak 5% apabila kita menyimpan dengan mereka tetapi syarikat persendirian ini menawarkan dividen sebanyak 10% untuk menarik kita melabur dengan mereka.
  • Jurujual bukannya orang tempatan, dan hanya memberikan alamat yang menggunakan nombor peti surat (PO Box) sahaja tetapi tidak memberikan nombor telefon dan alamat penuh bagi kita menghubunginya.
  • Jurujual yang mempamerkan  logo dan/atau nama yang begitu mirip dengan syarikat yang memang dikenali ramai.
  • Menggunakan kata-kata mendesak atau kata-kata yang menunjukkan had masa pada iklan atau promosi produk, seperti ’jualan hari terakhir’ atau ’perhatian segera’.
  • Menggunakan pendekatan berbentuk tekanan, ancaman atau gangguan, baik secara bertulis, melalui e-mel, semasa panggilan telefon, mahupun ketika perjumpaan secara peribadi.
  • Mendesak-desak atau meminta cek, wang pos atau bayaran tunai segera yang akan dikumpul melalui kurier, dan akan di hantar  ke pejabat pos untuk proses berikutnya
  • Memberikan jawapan yang samar-samar, berdolak-dalik ataupun tidak memberikan jawapan langsung apabila ditanyakan tentang maklumat lanjut tawaran tersebut.
  • Mendesak anda untuk mengikat perjanjian secara lisan ataupun mendesak anda untuk memberikan maklumat-maklumat kewangan peribadi seperti nombor kredit kad anda atau nombor PIN, tanpa memberikan sebarang kenyataan bertulis atau dokumen-dokumen berkaitan dan tidak mahu memberikan sebarang dokumen secara bertulis.
  • Memberikan kenyataan bahawa anda boleh mendapat kekayaan segera tanpa perlu bersusah-payah atau pengalaman, contohnya skim cepat kaya.
  • Keengganan memberikan maklumat syarikat atau francais.
  • Mendesak anda untuk membuat bayaran dahulu sebelum mereka boleh memberikan sebarang maklumat.
  • Memberikan maklumat yang tidak konsisten tentang keuntungan syarikat
  • Promosi yang menggunakan ayat-ayat promosi seperti ”Anda mesti bertindak sekarang atau anda akan terlepas peluang keemasan ini”.
  • ”Anda telah memenangi percutian percuma, hadiah percuma, wang tunai sebanyak RMxxx, tetapi anda perlu membayar untuk bayaran-bayaran lain, bayaran perkhidmatan pos dan penghantaran.
  • Jurujual yang berbual dengan anda melalui telefon mengatakan ”anda tidak perlu merujuk maklumat syarikat kami, dan anda juga tidak boleh menceritakan butiran perbualan kepada sesiapa, termasuk keluarga anda, peguam, akauntan, Biro Kewangan di tempat anda, mahupun persatuan pengguna tempatan anda.
  • Anda tidak boleh melepaskan tawaran yang ’high-profit, no-risk’

Setelah mengetahui semua helah yang biasa digunakan, ayuhlah menjadi pengguna bijak dan lindungilah diri anda. Mari kita lihat apa yang boleh anda lakukan:

  • Ambil masa untuk berfikir sedalam-dalamnya sebelum membuat sebarang keputusan. Syarikat-syarikat yang tidak bermuslihat untuk menipu anda tidak akan mendesak anda untuk membuat keputusan serta-merta. Bagi tawaran-tawaran yang anda perolehi melalui panggilan telefon, pastikan anda berbincang dengan keluarga anda, rakan-rakan anda, penasihat kewangan, ataupun persatuan pengguna tempatan anda, sebelum membuat sebarang persetujuan dan pembayaran.
  • Jika anda menerima panggilan telefon yang meragukan dan berunsur penipuan, anda hendaklah menolak dengan segera tawaran tersebut dan meletakkan gagang telefon, sebelum anda terpengaruh dengan kata-kata memujuk jurujual itu. Ingatlah bahawa anda akan mengalami kesukaran untuk membuat sebarang tuntutan jika anda telah membuat pembelian melalui panggilan telefon.
  • Bersikap tegas apabila dipujuk dengan pelbagai tawaran atau ketika menghadapi situasi yang mendesak.
  • Lindungi maklumat peribadi anda dengan hanya memberikan maklumat  tersebut setelah anda mengetahui dengan terperinci siapa yang akan mengumpulkannya, mengapa dan bagaimana proses urusan itu dilakukan. Anda juga perlu tahu bahawa maklumat peribadi anda boleh diakses oleh pihak ketiga yang anda langsung tidak kenali.
  • Baca dan fahami setiap patah perkataan di dalam kontrak sebelum menurunkan tanda tangan anda. Pastikan apa yang tertera di dalam kontrak adalah sama dengan apa yang telah dijanjikan oleh jurujual.
  • Jangan percaya sesuatu perkara itu hanya kerana anda melihatnya di Internet. Adalah penting untuk anda mendapatkan alamat lengkap syarikat tersebut dan segala maklumat yang diperlukan untuk menghubungi syarikat itu, seperti nombor telefon, alamat e-mel dan sebagainya. Adalah lebih baik jika anda mengenal pasti status syarikat tersebut dan mengenal pasti sama ada syarikat itu adalah syarikat berdaftar atau tidak.
  • Jika anda diminta untuk membeli barangan yang tidak dapat dilihat atau dipegang (seperti jualan langsung yang memerlukan anda menempah barangan melalui katalog tanpa dapat meneliti produk tersebut terlebih dahulu), pastikan anda membuat perbandingan harga dan jaminan yang ditawarkan di tempat-tempat lain atau di tempat berdekatan anda. Ingat, anda berisiko mendapat barangan yang tidak berkualiti apabila anda menempah barangan melalui katalog sahaja tanpa meneliti dan memeriksa barangan itu dengan pancaindera anda sendiri.
  • Sebelum anda memberikan wang untuk tujuan amal atau membuat pelaburan, adalah lebih baik jika anda dapat mengenal pasti berapa peratus daripada wang anda yang akan dibayar sebagai yuran dan berapa peratus yang benar-benar pergi kepada badan amal atau pelaburan tersebut.
  • Sebelum anda membuat sebarang bayaran, bertanyalah kepada diri anda sendiri soalan ini ”apakah jaminan bahawa bayaran yang saya buat ini akan disalurkan dan digunakan seperti yang telah dijanjikan oleh pihak ini?”
  • Anda perlu tahu bahawa anda tidak sepatutnya diminta untuk membuat bayaran  dahulu untuk perkhidmatan. Bayaran untuk perkhidmatan hanya boleh dibuat selepas barangan anda dihantar.
  • Antara taktik yang biasa digunakan untuk menipu ialah menghantar wakil atau jurujual ke rumah anda untuk mengambil wang, dan mereka mendakwa bahawa bayaran itu merupakan sebahagian daripada perkhidmatan mereka kepada anda. Sebenarnya mereka mengambil wang anda tanpa meninggalkan sebarang butiran mengenai mereka atau di mana mereka boleh dihubungi.
  • Anda tidak perlu memberi respon terhadap sebarang tawaran yang anda tidak fahami langsung.

Jika anda berasa ragu atau mengesyaki sebarang aktiviti skim penipuan, maka anda sentiasa boleh merujuk kepada penasihat kewangan, biro kewangan tempatan anda, dan juga persatuan pengguna yang berhampiran untuk mendapatkan butiran lanjut.