Penipuan Pelaburan Skim Cepat Kaya
Home Penipuan Penipuan Pelaburan Skim Cepat Kaya
Penipuan Pelaburan Skim Cepat Kaya PDF Print E-mail
Tuesday, 19 July 2011 05:21

Pelaburan Skim Cepat Kaya adalah antara topik hangat yang sering dipaparkan oleh media tempatan di mana orang ramai masih menjadi mangsa syarikat atau individu yang menjalankan aktiviti haram tersebut. Penganjur skim cepat kaya sentiasa mencari peluang dan kesempatan untuk menipu orang ramai dan sikap tamak yang tidak berkesudahan adalah antara faktor utama yang telah digunakan oleh penganjur-penganjur skim cepat kaya untuk mengekploitasi orang ramai untuk menyertai skim ini. Meskipun pelbagai tindakan dan usaha telah dijalankan oleh pihak berkuasa termasuk  Bank Negara Malaysia dalam membanteras dan menyedarkan orang ramai agar tidak terbabit di dalam skim cepat kaya, namun orang ramai masih terjebak dan terpengaruh dengan penganjur-penganjur skim yang menawarkan skim pelaburan yang kononnya dapat menjana pulangan yang lumayan dengan cepat daripada jumlah pelaburan yang kecil dan tanpa risiko.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk mengambil inisiatif bagi memastikan diri mereka tidak tertipu dengan skim-skim pelaburan cepat kaya dengan mengambil langkah berjaga-jaga seperti berikut: -

i.    Semak dahulu dengan pihak berkuasa sebelum melabur
Walaupun individu yang memperkenalkan skim pelaburan ini mungkin kelihatan jujur dan boleh dipercayai, jangan terburu-buru membuat keputusan untuk melabur. Siasat pelaburan tersebut dengan terperinci dan semak dengan pihak berkuasa terlebih dahulu. Orang yang memperkenalkan skim pelaburan tersebut mungkin juga turut sama tertipu dengan mempercayai bahawa skim pelaburan tersebut adalah sah di sisi undang-undang.

ii.    Beringatlah bahawa skim pelaburan yang menjanjikan sesuatu pulangan yang luar biasa selalunya akan memakan diri sendiri
Jangan tertipu dengan pelaburan yang menjanjikan keuntungan luar biasa atau keuntungan yang telah ‘dijamin’ tanpa melibatkan sebarang risiko. Ketahuilah bahawa semakin tinggi pulangan sesuatu pelaburan, semakin tinggilah risiko yang perlu ditanggung. Jaminan keuntungan besar dengan risiko kecil adalah contoh jelas penipuan dalam pelaburan

 

Modus operandi yang biasa digunakan bagi memperdaya orang ramai untuk melabur  dalam pelaburan haram ini adalah seperti berikut:-
i.    Menjanjikan pulangan yang tinggi bagi setiap pelaburan kecil;
Bagi setiap pelaburan yang dibuat, dijamin akan mendapat keuntungan yang tinggi. Contohnya 10 % sebulan. Pihak penganjur sentiasa menabur janji untuk terus membayar pulangan yang tinggi sama ada dalam bentuk janji-janji faedah, pulangan atau keuntungan. Walaupun nama dan bentuk aktiviti berkenaan mungkin berbeza di antara satu sama lain namun tujuan utamanya tetap untuk cuba mengaburi pelabur-pelabur yang lain supaya tertarik dengan tawaran pelan pelaburan tanpa had dan tanpa riskio dengan jaminan keuntungan yang lebih banyak dalam masa yang singkat.

ii.    Menggunakan penglibatan orang orang yang berpengaruh atau mempunyai kedudukan dalam masyarakat
Sejak kebelakangan ini, penganjur skim cepat kaya telah menarik beberapa orang yang berpengaruh atau mempunyai kedudukan dalam masyarakat seperti, pegawai kerajaan, pegawai beruniform, guru, ustaz/imam dll., sebagai pelabur. Penganjur skim cepat kaya ini telah mengeksploitasi penglibatan orang yang berpengaruh atau mempunyai kedudukan dalam masyarakat ini bagi memberi gambaran seolah-olah skim sedemikian telah diluluskan oleh pihak Kerajaan untuk menarik pelabur-pelabur lain.

iii.    Mengeluarkan Surat Kuasa Palsu
Penganjur skim cepat kaya telah bertindak dengan lebih berani, iaitu menipu/mengelirukan orang ramai dengan mengatakan bahawa mereka telah mendapat kelulusan yang diperlukan dari pihak berkuasa dengan menunjukan surat kuasa palsu. Dengan surat kuasa palsu ini, ramai telah terjebak dalam skim cepat kaya.
    
iv.  Memberi Jaminan Tiada Risiko
Penganjur skim cepat kaya sentiasa memberi jaminan bahawa keuntungan dari pelaburan dan pulangan modal adalah dijamin dan tidak berisiko. Mereka akan menunjukkan beberapa orang pelabur yang telah berjaya mendapatkan keuntungan hasil pelaburan tersebut.

v.  Membuat Pelaburan dalam Perniagaan
Penganjur skim cepat kaya sering mengatakan bahawa mereka melaburkan wang pelabur di dalam syarikat ternama di dalam dan luar negara. Antaranya dalam perniagaan emas, hartanah, lembu/kambing, pelancongan dan sebagainya.

vi.   Membuat Pelaburan Dalam Koperasi
Sejak akhir-akhir ini, penganjur skim cepat kaya telah cuba menarik pelaburan baru melalui penubuhan koperasi, di mana mereka berselindung di bawah penubuhan koperasi untuk memperdaya pelabur.

Sekiranya orang ramai merasakan diri mereka telah tertipu, mereka adalah dinasihatkan supaya membuat laporan polis sekiranya mereka telah menjadi mangsa penipuan kewangan atau penipuan skim-skim cepat kaya yang lain.

Untuk maklumat/penjelasan lanjut, pertanyaan dan aduan, orang ramai adalah dinasihatkan supaya menghubungi bank masing-masing atau nombor talian bebas Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) juga dikenali sebagi ABMConnect di 1-300-88-9980.

Orang ramai juga boleh menghubungi Bank Negara Malaysia di:

 


 

BNMTELELINK (Pusat Perhubungan Pelanggan)
Tel: 1-300-88-5465
Faks: 03-2174 1515
E-mel: This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it
(Waktu urusan: Isnin – Jumaat, 9:00 pagi – 5:00 petang)

Untuk menghantar pertanyaan melalui perkhidmatan SMS, sila taip:
BNM TANYA [pertanyaan/aduan anda] dan hantar kepada 15888
(Penghantar akan dikenakan caj oleh penyedia perkhidmatan telekomunikasi sebanyak RM0.15 bagi menghantar mesej dan RM0.20 untuk menerima mesej)

BNMLINK (Pusat Perkhidmatan Pelanggan) di Ibu Pejabat
Blok D, Bank Negara Malaysia,
Jalan Dato' Onn, 50480 Kuala Lumpur
(Waktu urusan: Isnin – Jumaat, 9:00 pagi – 5:00 petang)

ATAU kunjungi cawangan BNMLINK di Cawangan Bank Negara Malaysia Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuala Terengganu, Kota Kinabalu dan Kuching

 

Orang ramai juga boleh melayari laman http://fraudalert.bnm.gov.my untuk mendapatkan pelbagai maklumat lanjut berkenaan skim pelaburan cepat kaya serta tindakan penguatkuasaan yang telah diambil oleh Bank Negara Malaysia terhadap penganjur-penganjur skim tersebut.

Sumbangan Bank Negara Malaysia