Cara Mengenal Skim Penipuan!
Home Penipuan Cara Mengenal Skim Penipuan!
Cara Mengenal Skim Penipuan! PDF Print E-mail
Tuesday, 19 July 2011 05:15

Minimumkan risiko kehilangan wang simpanan anda dengan mengetahui pelbagai jenis pelaburan tidak sah di sisi undang-undang yang terdapat dalam masyarakat kini. Berikut ialah beberapa ciri dan janji yang umumnya ada dalam sesuatu skim penipuan:

  • Untuk setiap pelaburan yang dibuat, anda menerima pulangan yang tinggi, umpamanya, 20-30% sebulan bagi setiap bulan.
  • Anda tidak pernah ditunjukkan produk yang kononnya berkualiti yang perlu anda jual, sebaliknya dibayar mengikut bilangan orang yang anda latih atau mendaftar diri.
  • Anda diberitahu bahawa tawaran itu hanya untuk tempoh terhad dan anda MESTI membelinya sekarang.
  • Anda diminta memasukkan wang ke dalam bank asing dalam mata wang asing untuk mendapatkan suatu hadiah tetapi anda tidak ingat pun pernah masuk sebarang pertandingan atau cabutan bertuah.
  • Anda menerima panggilan telefon menawarkan peluang-peluang pelaburan dan anda sendiri tidak tahu bagaimana syarikat itu mendapat nombor telefon anda.
  • Anda menerima e-mel yang meminta nombor akaun bank anda kerana mereka mahu menghantar wang kepada anda, biasanya berjumlah berjuta-juta dolar Amerika, dari beberapa negara asing. Ini sebenarnya bukanlah satu bentuk skim penipuan pelaburan, tetapi tetap satu lagi skim penipuan yang popular.
  • Anda ditawarkan satu produk pelaburan yang menjamin keuntungan besar tanpa sebarang risiko kewangan.
  • Anda diminta melabur dalam satu skim pelaburan. Alamat dan maklumat perhubungan syarikat pelaburan yang menawarkan keuntungan besar kepada anda itu terletak di sebuah negara asing yang anda tidak dapat pastikan di mana kedudukan sebenar syarikat itu.
  • Anda ditawarkan “hadiah percuma” untuk mendapatkan sesuatu kemudian, contohnya, sejumlah wang yang besar.
  • Anda ditawarkan peluang pekerjaan dengan gaji besar tanpa memerlukan pengalaman dan kelayakan akademi yang berkenaan.
  • Anda didatangi oleh seseorang yang mengaku sebagai ejen bagi syarikat dagangan asing (umpamanya yang beribu pejabat di Makau, Bahamas, Kepulauan British Virgin, dsb) untuk berdagang dalam indeks asing (contohnya, indeks Hang Seng), komoditi (contohnya kopi) atau mata wang asing (contohnya AS$, Yen dsb) tetapi anda perlu mendepositkan sejumlah wang dalam mata wang asing sebagai “margin”, sebelum sesuatu urus niaga boleh dilakukan.
  • Sukar untuk menemui sebarang maklumat mengenai lesen atau kewujudan syarikat itu dalam tapak web mana-mana pihak pengawal selia atau pihak berkuasa yang berkenaan.

Jika anda mengalami mana-mana keadaan di atas, apakah yang perlu anda lakukan untuk melindungi diri anda?
Untuk mengelakkan diri daripada tertipu, sentiasa ingat petua-petua perlindungan yang berikut:
Perlindungan #1:
Hindari sebarang pelaburan yang menjamin keuntungan tetap atau tinggi bagi satu pelaburan kecil. Berhati-hatilah terhadap syarikat yang menjanjikan keuntungan besar atau menunjukkan prestasi cemerlang dalam satu tempoh masa yang pendek. Misalannya, “Kami jamin anda akan memperoleh sekurang-kurangnya 20-30% sebulan, bagi setiap bulan daripada bermulanya pelaburan ini.” Anda mesti ingat bahawa setiap pelaburan melibatkan risiko dan anda tentu selalu dengar bahawa, “risiko tinggi, pulangan tinggi!” Ambil langkah berhati-hati, terutama jika pelaburan itu kononnya akan memberi pulangan tinggi dengan risiko yang rendah atau tiada risiko langsung.

Perlindungan #2:
Berhati-hati dengan pelan yang menumpukan kepada membayar anda untuk melatih orang lain dan bukannya membayar anda kerana menjual produk atau perkhidmatan. Perkataan yang menjadi kunci utama untuk mengingatkan anda supaya berhati-hati ialah “downline” atau “piramid”.

Perlindungan #3:
Jangan sekali-kali bersetuju menyertai apa-apa “peluang” dalam keadaan mendesak, umpamanya, “tempoh untuk anda menyertai skim ini amat terhad” atau “beli sekarang, jika tidak, anda akan menyesal”. Ingatlah, jika perniagaan itu sah, ia akan tetap wujud esok, minggu hadapan, bulan hadapan atau tahun hadapan.

Perlindungan #4:
Memang mustahil untuk anda memenangi sebarang hadiah atau wang yang banyak jika anda tidak masuk sebarang pertandingan atau beli loteri. Begitu juga, mustahil bagi sesuatu pertandingan yang sah di sisi undang-undang untuk meminta bayaran wang pendahuluan sebelum menyerahkan hadiah wang. Jika anda menerima panggilan yang mengatakan bahawa anda telah memenangi satu hadiah dan anda perlu mengirim sejumlah wang ke sebuah negara asing bagi membolehkan anda menuntut hadiah tersebut, letakkan telefon. Jangan buang masa dan tenaga untuk melayan panggilan begini.

Perlindungan #5:
Anda perlu bersikap ragu-ragu mengenai sebarang panggilan telefon yang tidak dijangka mengenai pelaburan daripada jurujual atau syarikat luar pesisir yang anda tidak kenali. Jika pemanggil itu mengaku sebagai wakil peniaga syarikat broker saham atau penasihat pelaburan yang dilesenkan oleh pihak berkuasa di luar negara, minta nama pihak kawal selia asing berkaitan yang melesenkan syarikat itu dan layari tapak webnya yang biasanya mempunyai senarai mereka yang berdaftar dan dilesenkan. Anda mesti sentiasa memeriksa bukti kelayakan individu yang dilesenkan dengan pihak berkuasa berkenaan sebelum menyerahkan wang anda.

Perlindungan #6:
Pastikan anda memperoleh rekod prestasi syarikat tersebut. Juga, mintalah maklumat bertulis mengenai produk pelaburan dan perniagaan itu, serta risiko yang terbabit dalam pelaburan tersebut. Baca dengan teliti prospektus atau laporan tahunan syarikat itu sebelum membuat pelaburan.

Perlindungan #7:
Jangan berikan sebarang maklumat kewangan atau peribadi sebelum you memastikan kesahihan syarikat itu.

Perlindungan #8:
Jangan takut bertanya soalan. Malah, lebih banyak soalan yang anda tanyakan, lebih baik lagi. Minta penjelasan mengenai apa-apa perkara yang anda tidak benar-benar fahami. Walau bagaimanapun, jangan terima bulat-bulat semua maklumat yang diberikan. Siasat sendiri. Jika anda memerlukan bantuan untuk membuat penilaian terhadap pelaburan tersebut, pergilah kepada mereka yang boleh memberikan nasihat secara bebas dan profesional, contohnya wakil peniaga berlesen, penasihat pelaburan, peguam atau akauntan.

Perlindungan #9:
Sentiasa periksa tapak web pihak pengawal selia, contohnya, tapak web Suruhanjaya Sekuriti (www.sc.com.my), untuk mendapatkan maklumat mengenai amaran untuk pelabur, atau senarai syarikat-syarikat perantara berlesen.

Perlindungan #10:
Jika ragu-ragu, jangan melabur. Mengapa anda mesti meletakkan wang anda dalam risiko jika anda tidak mendapat maklumat sepenuhnya mengenai syarikat, jurujual/ejen, atau pelaburan tersebut? Ingatlah, jika sesuatu janji itu nampak macam mustahil boleh dilaksanakan, kemungkinan besar memang mustahil boleh berlaku!


Maklumat lanjut dan maklumat perhubungan penting:
Jika anda perlu mengesahkan status lesen sesebuah syarikat dalam pasaran sekuriti dan niaga hadapan, anda boleh hubungi:



Jabatan Hal Ehwal Pelabur & Pengaduan
Suruhanjaya Sekuriti
3 Persiaran Bukit Kiara
Bukit Kiara
50490 Kuala Lumpur
Tel: 603 6204 8999
Faks: 603 6204 8991
E-mel: This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it

Walau bagaimanapun, sekiranya anda telah menjadi mangsa skim penipuan pelaburan, anda boleh mengemukakan aduan kepada pihak-pihak berkuasa berkenaan seperti:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Ko-operasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)
No. 13, Persiaran Perdana
Presint 2, 62623 Putrajaya
Hotline : 1800-886-800
Tel : 603-8882 5500
Faks: 603-8882 5762

Contact Centre (BNMTELELINK)
Corporate Communications Department
Bank Negara Malaysia
P.O. Box 10922
50929 Kuala Lumpur
Tel : 1-300-88-5465 (1-300-88-LINK)
Faks: 03-2174-1515
E-mel: This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it
ATAU

Laman Informasi Nasihat dan Khidmat (BNMLINK)
(Walk-in Customer Service Centre)
Aras Tanah, Blok D
Jalan Dato' Onn
50480 Kuala Lumpur
 
Last Updated on Tuesday, 19 July 2011 05:20