Subsidi dan Pengguna Malaysia
Home Pengurusan Kewangan Subsidi dan Pengguna Malaysia
Subsidi dan Pengguna Malaysia PDF Print E-mail
Tuesday, 19 July 2011 23:47

Semenjak sekian lama, pengguna di Malaysia telah terbiasa dengan harga makanan dan petroleum yang rendah. Kerajaan telah berbelanja berbillion-billion untuk mengekalkan harga beberapa jenis barangan untuk memastikan harga tersebut pada paras yang rendah.


Kebanyakan subsidi pada masakini ini adalah subsidi “blanket” bermakna semua layak menerima manafaatnya – daripada yang berpendapatan tinggi sehinga berpendapatan rendah.  Subsidi tidak mencerminkan harga sebenar dalam pasaran. Ini akan mengakibatkan penggunaan yang berlebihan dan juga masalah seperti penyeludupan, penyorokan, penyalahgunaan dan ketirisan.


Jelas sekali bahawa subsidi yang diberikan pada masa kini adalah tidak mampan.  Hutang Kerajaan telah meningkat daripada RM 90 bilion pada tahun 1997 kepada RM 362 bilion pada tahun 2009.  Di samping itu, Malaysia mencatat rekod sebagai di antara negara pemberi subsidi yang tertinggi di  dunia iaitu 4.7% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar berbanding 2.7% bagi Indonesia dan 1.5% bagi Negara-negara Pertubuhan Bagi Kerjasama Ekonomi (OECD).


Untuk menangani masalah ini, Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menarik subsidi-subsidi berkenaan. Sebelum Kerajaan berbuat sedemikian, terdapat beberapa langkah yang perlu diambil oleh Kerajaan untuk memastikan pengguna Malaysia tidak menghadapi keadaan yang negatif.


Satu sistem jaringan sosial yang komprehensif harus diwujudkan dan dilaksanakan.  Golongan yang berada di bawah paras pendapatan yang ditetapkan hendaklah diberikan bantuan-bantuan yang lengkap, iaitu bukan sahaja makanan tetapi juga kemudahan pendidikan, kesihatan, subsidi pengangkutan awam, dan bayaran kebajikan. Oleh itu, apabila subsidi ditarik balik, kebajikan golongan miskin akan terus terpelihara.


Dalam pasaran kini, terdapat terlalu banyak amalan yang tidak mencerminkan harga yang sebenar melalui amalan monopoli, oligopoli dan pakatan penjual (market collusion). Golongan-golongan ini boleh memanipulasikan harga yang boleh memudaratkan kepentingan pengguna. Undang-undang persaingan yang kuat perlu dilaksanakan untuk memastikan pasaran adalah benar-benar terbuka untuk menggalakkan persaingan yang sihat di antara penjual-penjual.  Sekiranya berlaku persaingan yang sihat di pasaran, maka penggunalah yang akan mendapat manafaat melalui harga yang rendah dan kualiti yang tinggi.


Kerajaan harus memberikan penekanan kepada pendidikan pengguna. Berdasarkan maklumbalas daipada pengguna khususnya di kawasan luar bandar, mereka kurang memahami tentang pasaran ekonomi. Mereka percaya kerajaan dapat menetapkan atau sekurang-kurangnya mempengaruhi penetapan harga.  Namun apabila kerajaan menaikkan harga barang, mereka akan menyalahkan kerajaan.  


Oleh itu, pendidikan pengguna yang menyeluruh perlu diwujudkan oleh kerajaan bagi membantu pengguna untuk memahami pasaran, hak dan tanggungjawab mereka sebagai pengguna.  Selain itu, pengguna juga perlu dididik supaya menjadi pengguna yang pasif dalam menangani keadaan ini. Dengan mengamalkan penggunaan berhemat dan pengurusan kewangan yang bijak, mereka dapat mengawal keadaan mereka dengan lebih teratur.