Tanpa Perancangan Kewangan
Home Pengurusan Kewangan Tanpa Perancangan Kewangan
Tanpa Perancangan Kewangan PDF Print E-mail
Tuesday, 19 July 2011 04:47

Jelas sekali bahawa perancangan kewangan adalah begitu penting bagi menjamin kualiti hidup yang baik. Namun ramai pengguna masih beranggapan bahawa  perancangan ini sebagai satu yang remeh  iaitu satu yang tidak cukup penting untuk memberikan keutamaan yang sewajarnya.  Apakah kemungkinan-kemungkinan yang negatif sekiranya anda sebagai pengguna tidak merancang kewangan anda?


Tanpa satu rancangan kewangan, anda tidak mengetahui kedudukan kewangan yang sebenar dan sejauh mana kita berada dalam perjalanan untuk mencapai matlamat yang melibatkan kewangan. Tanpa memahami kedudukan anda yang sebenar, anda kurang pasti apakah tindakan yang harus diambil untuk menjamin kestabilan kewangan anda.  


Seorang jutawan yang menjadi muflis ditanya bagaimana keadaan ini boleh berlaku.  Beliau menjawab “mula-mula lambat, selepas itu tiba-tiba” (first slowly, then suddenly).  Maksud beliau adalah pada peringkat awal walau pun terdapat beberapa tanda dalam status kewangannya yang menunjukkan bahawa beliau bergerak ke arah keadaan susah, beliau tidak mengambil peduli.  Beliau menganggap keadaan ini adalah biasa sahaja iaitu kadang-kadang naik, dan kadang-kadang turun.  Tetapi tiba-tiba keadaan beliau menjadi parah, dan terlalu lambat untuk mengambil tindakan yang boleh menyelamatkan diri.


Tanpa perancangan keadaan kewangan, anda juga boleh menjadi parah tanpa kesedaran anda. Terdapat beberapa kesan negatif yang boleh berlaku tanpa perancangan kewangan. Pertama, tanpa perancangan kewangan ada kemungkinan anda tidak akan menabung dengan secukupnya. Sama ada untuk pendidikan anak, persaraan atau untuk mengalami satu-satu kecemasan seperti perbelanjaan perubatan, anda akan mendapati bahawa tabungan anda tidak mencukupi untuk menampung kos.


Dalam kaji selidik yang dikendalikan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) terhadap pengguna yang mengalami masalah kewangan yang mengunjungi AKPK untuk mendapatkan bantuan. Pertama, adalah bil perubatan, iaitu bila mereka mengalami satu-satu krisis kesihatan dalam keluarga, tabungan mereka tidak mencukupi untuk  menampung perbelanjaan tersebut. Oleh itu mereka menghadapi masalah kewangan yang serius.  


Begitu juga untuk perbelanjaan yang perlu anda bayar pada masa 15 tahun atau 20 tahun akan datang, seperti menghantar anak anda ke universiti atau apabila bersara, perancangan kewangan adalah begitu penting sekali.


Keduanya, tanpa perancangan kewangan, anda mungkin terjerat dengan hutang.  Kad kredit merupakan satu-satunya kemudahan yang menyenangkan gaya hidup tetapi tanpa pengurusan dengan cekap, kad kredit boleh membawa kepada masalah yang parah, termasuk diisytiharkan muflis. Menurut Jabatan Insolvensi Malaysia, hampir 50% yang diisytiharkan muflis disebabkan oleh kad kredit adalah golongan yang berumur di bawah umur 30 tahun.  Maka apabila menggunakan kad kredit, terdapat beberapa prinsip kewangan asas yang mesti dipatuhi.


Dalam membeli barang melalui sewa beli, pengguna juga harus berjaga-jaga.  Tanpa perancangan yang rapi, ada kemungkinan anda akan memandang mudah terhadap kemampuan anda untuk membayar ansuran. Oleh itu anda akan menanggung hutang yang berlebihan.  Faktor ini juga mengikut AKPK adalah sebab utama pengguna menghadapi masalah kewangan yang serius.


Ketiganya, tanpa perancangan kewangan anda mungkin tidak mendapatkan perlindungan insurans yang cukup.  Jika sesuatu yang buruk berlaku kepada diri atau asset anda, anda atau keluarga anda akan menghadapi masa hadapan yang malap.  Keperluan untuk setiap orang memang berbeza. Oleh itu sukar untuk menetapkan berapakah jumlah yang mencukupi untuk melindungi diri seseorang. Oleh itu bila anda membuat perancangan kewangan, anda perlu harus meneliti beberapa faktor, dan membuat keputusan tentang sejauhmana perlindungan yang anda perlukan untuk diri dan keluarga anda.


Yang keempat, dengan perancangan kewangan anda akan lebih berjaga-jaga dalam menguruskan perbelanjaan. Jika terdapat gerak hati (impulse) untuk membeli satu-satu barang mewah, dengan mempunyai budget yang telah ditetapkan, anda akan sedar sama ada anda mampu untuk membelinya atau tidak.  Mungkin pada bulan ini anda tidak dapat membeli kerana terdapat sesuatu perbelanjaan yang tidak diduga, maka anda boleh merancang untuk mengurangkan perbelanjaan.


Ada kemungkinan juga dengan perancangan kewangan, anda akan lebih berusaha untuk mengurangkan perbelanjaan dengan mengurangkan kegunaan air, atau letrik, atau membeli barangan jenama pasar raya atau menanam sayur-sayuran di halaman rumah.


Akhirnya, dengan perancangan kewangan, mungkin anda boleh melabur dalam saham atau amanah saham.  Pelaburan itu sudah tentu dipengaruhi oleh sejauh mana kesanggupan anda menanggung risiko. Namun setiap orang harus memberikan pertimbangan yang sewajarnya untuk menggunakan kewangan mereka dalam pelaburan yang “sihat”.  Dalam masa yang sama anda harus berwaspada dengan sebarang skim cepat kaya yang boleh menghancurkan anda dan keluarga anda.  Pelaburan yang “sihat” sedikit sebanyak dapat membantu anda mengatasi kesan inflasi.


Walaupun kebanyakan pengguna sedar akan kepentingan perancangan kewangan, namun ada kalanya mereka akan leka dan akhirnya mengalami kekecewaan dalam kehidupan. Anda harus mengelak daripada membazirkan sumber yang sedia ada dan cari jalan yang terbaik untuk memastikan kualiti hidup kewangan yang terbaik.