Sediakan Bajet Dengan Sistem Sampul
Home Pengurusan Kewangan Sediakan Bajet Dengan Sistem Sampul
Sediakan Bajet Dengan Sistem Sampul PDF Print E-mail
Tuesday, 19 July 2011 04:44

Pengguna dan isi rumah pada hari ini berhadapan dengan masalah isu kenaikan kos harga makanan, kenaikan harga petrol dan perkhidmatan-perkhidmatan yang lain. Bagi memastikan kenaikan kos ini tidak memberikan tekanan kepada kehidupan, anda hendaklah menguruskan kewangan dengan baik.

Antara aspek penting dalam pengurusan kewangan ialah membuat bajet bulanan. Bajet membantu anda mengenal pasti aliran tunai sebenar perbelanjaan pada akhir bulan. Salah satu kaedah dalam menyediakan bajet ialah melalui sistem sampul. Untuk itu, anda memerlukan beberapa keping sampul, salinan bajet dan pensil untuk melakukan aktiviti ini.

Langkah 1 : Pengguna diminta menyediakan bajet

Anda harus mengenal pasti jumlah pendapatan atau sumber yang akan diterima pada bulan tersebut dan jumlah perbelanjaan yang akan digunakan. Langkah penyediaan bajet akan memberi kesan terhadap situasi kewangan anda.

Langkah 2: Bahagikan perbelanjaan kepada beberapa kategori

Teliti bajet anda dan bahagikan kepada beberapa kategori seperti makanan, penggunaan petrol, pakaian, peralatan rumah, hiburan dan sebagainya. Wujudkan sampul surat dengan menulis kategori-kategori yang dinyatakan dalam bajet pada setiap sampul surat.

Langkah 3 : Isikan sampul  dengan bajet yang telah diperuntukkan

Isikan sampul  dengan wang yang telah diperuntukkan dalam bajet mengikut kategori.

Langkah 4 : Belanjakan wang
Gunakan wang yang diperuntukkan mengikut kategori sampul surat. Contohnya, sekiranya pembelian untuk makanan gunakan wang daripada sampul kategori makanan sehinggalah wang tersebut habis mengikut peruntukan. Pada ketika ini, perbelanjaan bagi kategori yang tidak popular harus dihentikan atau dikurangkan untuk penyediaan bajet bulan hadapan.

Langkah 5: Letakkan mana-mana wang lebihan untuk simpanan

Sekiranya anda mempunyai lebihan wang dalam sampul pada hujung bulan, jadikan ia sebagai tambahan simpanan anda atau gunakan untuk tambahan bayaran kepada liabiliti atau hutang.

Langkah 6 : Isikan semula bajet anda untuk bulan hadapan.

Isikan semula wang mengikut bajet ke dalam sampul. Setiap bulan adalah peluang baru dalam menyediakan bajet anda.

Dalam anda mengikuti langkah-langkah di atas, sedikit tips ingin dikongsikan bersama agar impian dan hasrat anda benar-benar menjadi kenyataan.

Antara tip-tipnya ialah:-

  • Alihkan peruntukan kategori-kategori anda pada bulan pertama sehingga anda rasa jumlah tersebut bersesuaian dengan bajet sebenar.
  • Sekiranya anda tidak membuat pembelian secara tunai, ambil masa beberapa bulan untuk menyesuaikan bajet anda dalam sistem sampul ini. Jangan terus mengalah sekiranya anda tidak dapat mematuhi bajet. Anda harus gigih usaha pada bulan seterusnya.
  • Sekiranya anda tidak dapat mematuhi sistem sampul  secara bulanan, mulakan secara mingguan atau dwi mingguan. Ia bermatlamatkan untuk mewujudkan suatu sistem yang berkesan untuk anda.
  • Adakah saranan membawa wang tunai ini menyebabkan anda rasa takut atau sukar? Anda boleh gunakan kad debit dan masih boleh menggunakan sistem sampul surat. Hanya tolakkan setiap pembelian anda dan catatkan di belakang sampul surat dan hentikan pembelian sekiranya baki sampul surat menunjukkan “0”.