Home Pengurusan Kewangan Rancang percutian mengikut bajet
Rancang percutian mengikut bajet PDF Print E-mail
Tuesday, 19 July 2011 04:43

PERCUTIAN memang sesuatu yang dinantikan setiap individu terutama selepas sekian lama bertungkus lumus bekerja tanpa rehat. Percutian juga membolehkan kita melarikan diri daripada rutin seharian dengan merehatkan minda sambil melihat persekitaran yang berlainan di tempat lain.

Cuti yang lama sempena sambutan Aidilfitri pastinya tidak akan disia-siakan sama ada pulang berhari raya ke kampung halaman atau ke tempat menarik di negara ini atau luar negara untuk menghabiskan cuti masing-masing.

Apa pun tidak kira pulang ke kampung atau bercuti di tempat menarik dalam atau luar negara yang paling penting perlulah merancang percutian mengikut kemampuan atau bajet yang ditetapkan.

Ini kerana jika percutian tanpa mengikut apa yang ditetap boleh menyebabkan kita terpaksa menanggung hutang selepas pulang bercuti dan akhirnya secara tidak langsung mengganggu perjalanan kewangan harian anda.

Langkah pertama yang boleh dilakukan ialah dengan membuat senarai apa yang perlu dilakukan dan anggaran perbelanjaan sebelum pergi bercuti. Ini termasuk penginapan, makan, minum,pengangkutan dan bayaran lain seperti tol dan cenderahati.

Layari internet atau membaca iklan di akhbar untuk mengetahui lebih lanjut keistimewaan tempat yang bakal dikunjungi untuk mendapat idea sebelum tiba di tempat itu.

Yang penting ialah memastikan kenderaan yang bakal digunakan berada dalam keadaan baik bagi yang memandu denganmenghantar ke pusat servis kenderaan terlebih dulu.

Ini kerana jika berlaku kejadian yang tidak diingini di tengah jalan seperti kereta rosak tentunya memerlukan belanja yang tinggi bagi kos membaiki dan menarik (jika lebih teruk).

Bagi menggunakan penerbangan, tempah atau belilah tiket penerbangan lebih awal bagi mengelakkan tidak mendapat tempat duduk pada tarikh yang ditetapkan. Belilah tiket penerbangan ketika tawaran harga mudah ditawarkan syarikat penerbangan.

Malah, jika bernasib baik membeli secara talian dalam internet kadangkala lebih murah sekali gus dapat mengurangkan bajet percutian kita.

Yang pulang ke kampung halaman dan menginap di rumah ibu bapa atau sanak saudara tentunya bajet bagi penginapan tidak menjadi masalah. Tetapi bagi yang bercuti yang memerlukan tempat menginap seperti di hotel, perlulah menempah lebih awal.

Layari internet untuk mendapatkan kedudukan hotel yang bakal ditempah dan kemudahan disediakan selain harga yang berpatutan. Tempahan boleh dibuat menerusi internet atau telefon ke hotel berkenaan.

Ini kerana, jika di saat akhir dikhuatiri hotel yang sesuai dengan bajet kita akan penuh dan menyebabkan kita terpaksa berbelanja lebih untuk mendapatkan bilik yang kosong yang mungkin harganya lebih tinggi.

Percutian di satu-satu tempat pastinya tidak sah jika tidak membelicenderahati untuk di bawa pulang sebagai kenangan. Jadilah pembeli yang bijak dalam memilih barangan yang bakal dibeli kerana jika tidak berhati-hati terbeli barang yang ada juga dijual di tempat tinggal anda.

Apa-apa pun, jadilah pengguna yang bijak dan pelancong yang berhemah dalam merancang percutian supaya tidak terlebih bajet yang boleh menyebabkan mood selepas bercuti juga terganggu akibat daripada gangguan perjalanan kewangan.