Home Pengurusan Kewangan Pentingnya Perancangan Kewangan
Pentingnya Perancangan Kewangan PDF Print E-mail
Tuesday, 19 July 2011 04:38

Kita bebas membuat pilihan dan keputusan mengenai kewangan agar tidak terikat dengan bebanan hutang, kuasa beli, liabiliti jangka panjang dan psikologi krisis kewangan. Sedarkah kita bahawa, walaupun kita mempunyai kebebasan dalam kewangan, namun kita juga memerlukan perancangan kewangan yang betul.

Perancangan kewangan adalah mengenai mengurus kedudukan ekonomi atau kewangan seseorang individu dengan mengambil kira perkara-perkara yang ingin dilakukan seperti berkahwin, membeli asset seperti kereta atau rumah, merancang untuk mendapatkan anak serta perancangan pendidikan anak kita. Melalui perancangan kewangan, kita dapat mengenal pasti cara-cara membuat belanjawan, menabung dan membelanjakan wang dalam suatu tempoh masa yang tertentu. Selain itu juga, ia adalah panduan untuk membantu anda mencapai sesuatu matlamat pada masa hadapan.
    
Keperluan perancangan kewangan

  • memaksimumkan pendapatan dan kekayaan
    • Anda perlu mencari lebih banyak wang dengan bekerja lebih kuat; berusaha dengan lebih gigih; melakukan pekerjaan yang memberikan pendapatan lumayan; mengambil risiko kerjaya yang memberi bayaran gaji dalam jangka panjang; atau membuat pilihan bijak dalam  pelaburan.
  • Menggunakan wang dengan lebih berkesan
    • Terdapat dua asas penggunaan wang iaitu guna dan simpan. Biarpun anda seorang penjimat, anda mungkin juga akan menghabiskan sebahagian besar pendapatan anda. Belanjakan wang anda dengan berhemat dan buatlah keputusan bijak terhadap rancangan kewangan anda. Elakkan belanja secara boros.
  • Memantau perbelanjaan
    • Anggaran perbelanjaan adalah kunci untuk mengawal pengaliran wang dan tujuan perbelanjaan dibuat. Jika anggaran perbelanjaan tidak mencerminkan apa yang anda inginkan daripada kehidupan baik sekarang atau masa hadapan, ia hendaklah diubah. Maklumat juga boleh membantu anda kekal di bawah kawalan perbelanjaan anda.

Kepentingan perancangan kewangan

1.    Asas Pengurusan Wang
Ia melibatkan pengurusan akaun simpanan dan cek.  Dalam menguruskan aset kewangan, ini merupakan langkah pertama terhadap pengurusan aset kewangan yang lebih rumit seperti pelaburan dan akaun bersara.  Anda mestilah bijak memilih akaun cek di bank/institusi kewangan yang tepat. Menguruskan akaun simpanan melibatkan pemahaman pentingnya simpanan, menetapkan tujuan simpanan, dan memilih pilihan terbaik simpanan.

2.    Pengurusan Kredit
Kredit adalah bidang kewangan peribadi yang menyebabkan ramai orang terjebak dalam masalah kewangan. Kredit membolehkan seseorang untuk menerima wang, barang, atau perkhidmatan dalam bentuk pinjaman dengan bersetuju untuk membayar pinjaman pada jangka waktu dan kadar bunga kredit tertentu.  Pengurusan kredit yang betul adalah tentang kefahaman tentang pinjaman wang bagi mendapat tawaran yang baik; dan bagaimana untuk mengira beban kewangan dan bayaran bulanan. Ia juga melibatkan bagaimana untuk memperbaiki catatan kredit yang buruk dan tempat untuk mendapatkan bantuan jika anda mendapat kesulitan.

3.    Pengurusan Cukai

Membayar cukai adalah aspek yang penting dalam perancangan kewangan diri. Tujuan pengurusan cukai adalah untuk menimbang pendapatan semasa dan akan datang seseorang serta membangunkan langkah yang berlainan dan/atau mengurangkan pembayaran cukai. Terdapat salah anggapan yang biasa dibuat iaitu hanya yang berpendapatan tinggi sahaja yang perlu terlibat dengan perancangan cukai. Semua pengguna harus merancang cukai mereka.

4.    Perbelanjaan Berkesan

Dalam lingkungan had belanjawan diri sendiri, setiap individu melatih diri atau hak sebagai pengguna untuk memilih atau menolak pelbagai kebanjiran produk dan perkhidmatan yang sedia ada. Seperti anda membeli tanah dan kereta, wang anda dapat digandakan atau diboroskan. Jangan mensia-siakan pendapatan anda dan simpanlah untuk tujuan kesihatan diri.

5.    Insurans

Walaupun betapa berhati-hatinya anda dalam menjalani kehidupan, anda tidak boleh mengelak daripada berdepan dengan kemalangan. Insurans telah direncanakan untuk melindungi harta anda daripada kemalangan, kesakitan, kecacatan, dan kematian. Matlamat anda adalah untuk mendapatkan insurans yang sesuai bagi setiap perkara insurans utama (hidup, kesihatan, kecacatan, kekayaan dan tanggungan).

6.    Pengurusan Pelaburan

Pelaburan adalah proses yang membolehkan wang diperolehi melalui kerja, warisan/peninggalan, atau sumber yang lain. Pengurusan pelaburan yang baik adalah komponen penting bagi perancangan kewangan dan boleh membuatkan ia mudah untuk mencapai matlamat utama lain seperti membeli rumah, menghantar anak ke universiti, memulakan perniagaan, atau bersara dengan selesa. Amat sukar pada masa sekarang ini untuk menggandakan kekayaan tanpa melabur.

7.    Perancangan Kewangan Untuk Masa Depan

Merancang untuk pembelajaran anak, tahun persaraan, dan mengenalpasti cara yang terbaik mewariskan harta kepada bakal pewaris anda. Terdapat dua pelan gaji persaraan iaitu persaraan ditaja majikan dan pelan persaraan individu. Selain itu, perancangan kewangan untuk masa depan ialah perancangan tanah (real estate). Untuk semua perancangan diri, perancangan tanah adalah relevan untuk anda.

8.    Faktor Sampingan

Semasa menyediakan matlamat dan rancangan kewangan, anda perlu menimbangkan impak daripada faktor sampingan seperti cukai dan kadar faedah bagi pilihan kewangan anda. Tambahan pula, perubahan sampingan dalam persekitaran dan keadaan lain boleh merubah perancangan kewangan anda walaupun matlamat individu anda tidak berubah. Secara umumnya, dua faktor sampingan utama yang berkaitan dengan perancangan kewangan peribadi adalah polisi kerajaan (cukai, pengeluaran dan peraturan) dan situasi ekonomi umum (kitaran perniagaan, inflasi dan kadar faedah).

Menyedari pentingnya perancangan kewangan, anda hendaklah sentiasa berhati-hati dalam perbelanjaan. Setiap individu perlu merancang kewangan agar tidak terjerumus dengan hutang. Ini melibatkan jaminan masa depan kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku sama ada baik atau buruk, kedua-duanya memerlukan aktiviti pengaliran wang keluar masuk. Sedarlah bahawa setiap perubahan dan tindakan bermula daripada anda semua.

RUJUKAN
CRRC. (2009). Pengurusan Kewangan. Petaling Jaya: Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna

Lee Boon Keng & Andy Ong. (2001). Personal Financial Planning in Malaysia. Singapore: AFPJ Pte Ltd

Louis E.Boone, David L.Kurtz & Douglas Hearth.  (2006). Planning Your Financial Future Fourth Edition. USA: Thomson South-Western.