Home Pengurusan Kewangan Mengetahui Nilai Masa Wang
Mengetahui Nilai Masa Wang PDF Print E-mail
Tuesday, 19 July 2011 04:32

Salah satu konsep paling asas (dan penting) dalam analisis pelaburan ialah nilai masa wang. Ia membentuk asas kepada celik kewangan, di samping menjadi asas untuk memahami penilaian dan pelaburan kewangan.

Warren Buffett, salah seorang pelabur paling berjaya pada masa ini, amat mempercayai nilai masa wang. Beliau lebih gemar memilih untuk melaburkan semula wang yang dijana daripada perniagaan daripada menggunakannya untuk membayar dividen kepada pemegang saham syarikatnya. Dengan cara ini, wang itu terus berkembang. Begitu juga, nilai pelaburannya akan berganda mengikut masa, sama sepertimana bakteria membiak, dan kesannya pulangan akan meningkat dengan lebih tinggi. Inilah yang dikatakan kuasa masa terhadap nilai wang.

Masa ialah aset yang terbesar bagi seseorang yang hendak melabur. Lebih awal anda melabur, maka lebih besar pulangan atas nilai wang. Ini disebabkan oleh prinsip faedah kompaun yang anda perolehi daripada faedah atas pelaburan asal anda. Walaupun terdapat perbezaan satu mata peratusan, kesan dalam jangka panjang boleh menjadi ketara.

Contohnya anda melabur RM1,000 sekali gus dan mendapat pulangan 10% setiap tahun. Tahun pertama nilai pelaburan anda adalah RM1,100, tahun ke-2 RM1,210, tahun ke-3 RM1,331, tahun ke-4 RM1,464, tahun ke-5 RM1,611, tahun ke-6 RM1,772 dan tahun ke-7 pula sebanyak RM1,949. Sebagai pelabur, anda boleh terus melabur untuk mendapatkan pulangan tinggi bagi pelaburan anda. Umpamanya pada tahun ke-7, pulangan pelaburan anda  hampir berganda.

Masa yang diperlukan untuk menggandakan wang anda boleh dikira dengan peraturan 72. Bahagikan 72 dengan peratusan faedah yang anda peroleh daripada simpanan. Sekiranya pulangan yang diperoleh tidak memuaskan, anda boleh menimbang pilihan lain yang memberi kadar pulangan yang lebih tinggi. Berapa lamakah masa diambil untuk menggandakan simpanan anda?

72 / 2% = 36 tahun, 72 / 5% = 14.4 tahun, 72 / 8% = 9 tahun, 72 / 10% = 7.2 tahun dan 72 / 12% = 6 tahun (Dengan kadar pulangan 12%, wang akan berganda dalam tempoh kira-kira 6 tahun.

Lebih awal anda melabur, lebih besar pulangan atas nilai wang anda.  Lebih tinggi pulangan pelaburan, lebih cepat pula anda dapat menggandakan wang anda.  Tapi awas semakin tinggi pulangan sesuatu pelaburan, semakin tinggi juga risiko anda kehilangan wang pelaburan anda.  Oleh itu, pilih pelaburan yang membawa pulangan yang elok dan sentiasa ukur risiko pelaburan anda agar tidak tertipu semasa cuba menggandakan wang anda.