Keperluan Pengurusan Kewangan Print
Tuesday, 19 July 2011 04:12

Pengurusan kewangan amat penting dalam kehidupan. Namun begitu secara umumnya, rakyat Malaysia didapati tidak menguruskan kewangan mereka dengan cekap. Ini berdasarkan kepada statistik yang menunjukkan bahawa 50% daripada pemegang kad kredit yang diisytiharkan bankrap adalah di bawah umur 30 (Malay Mail, 15/6/2009). Pada umur yang muda, mereka sudah jadi muflis.

Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dalam laporannya menyatakan golongan inilah yang menghadapi masalah menyelesaikan hutang, 27% menyatakan bahawa mereka hilang kawalan akan kegunaan kad kredit mereka dan 22% menyatakan bahawa mereka menghadapi keadaan susah kerana pengurusan yang lemah.

Menurut kajian yang dikendalikan oleh Citibank (The Star, 19/2/2009) pula:

  • 37% responden menyatakan bahawa mereka agak bimbang akan masa hadapan kewangan mereka;
  • Secara purata, rakyat Malaysia mempunyai simpanan hanya untuk sebelas minggu sahaja;
  • Sejumlah 12% menyatakan bahawa mereka tidak menabung sama sekali;
  • Sejumlah 66% tidak yakin dengan simpanan persaraan mereka;
  • Hanya 22% mempunyai rancangan persaraan yang formal;
  • Walaupun 86% menyatakan bahawa mereka cuba mematuhi kepada bajet, hanya 28% berjaya mematuhi bajet mereka; dan
  • Lebih 25% tidak pernah berfikir atau memulakan rancangan persaraan mereka.

Di dalam kaji selidik yang dikendalikan oleh Malay Mail (14/10/08) bertajuk, “Generation Y just doesn’t
care – What recession? It is a non-event for young Malaysians” melaporkan bahawa, walaupun Malaysia
mengalami kegawatan pada ketika itu:

  • Belia masih berbelanja RM 300 – RM 500 sebulan untuk hiburan dan riadah;
  • Mereka terlalu suka untuk membeli belah sehinggakan dilabelkan sebagai “dream consumers”; dan
  • Ramai memiliki telefon bimbit yang mempunyai teknologi yang terkini

Dalam satu lagi kajian yang dilakukan oleh CIMB (11/11/2008), terdapat 93% yang ditemuduga menyatakan bahawa mereka sedar akan keperluan pengurusan kewangan. Maka jelaslah bahawa pengguna Malaysia harus dididik dan dilatih dalam pelbagai aspek perancangan dan pengurusan kewangan.

Dalam merancang kewangan, kita harus bertanya kepada diri sendiri tentang harapan, masa depan dan matlamat kita. Sebagai contoh, peristiwa-peristiwa yang kita akan lalui termasuk membeli rumah, membeli kereta, berkahwin, mendapatkan anak, pendidikan anak, melancong dan bersara.

Dalam setiap fasa kehidupan, kita sering mempunyai kepentingan, tanggungjawab dan kehendak kewangan yang berbeza. Setiap peringkat hidup memberikan kita peluang dan cabaran yang berbeza. Apabila kehidupan kita berubah, maka kehendak dan keperluan kita juga berubah, Perancangan kewangan menyediakan diri kita untuk menghadapi peluang dan cabaran hidup ini.

Melalui perancangan kewangan kita dapat mengenal pasti cara-cara membuat belanjawan, menabung dan membelanjakan wang dalam suatu tempoh masa yang tertentu. Sekiranya kita merancang kewangan dengan cekap kita akan merasakan bahawa kita berupaya untuk mengawal kewangan kita dan memastikan kita akan berbelanja mengikut kemampuan yang sebenar. Selain itu dapat menguruskan hutang dengan baik serta mengelak daripada kesan-kesan negatif seperti menjadi muflis atau bergantung kepada orang lain seperti ibu bapa atau anak-anak kita.

Kita juga akan mempunyai perhubungan sosial yang baik dengan ahli keluarga, kawan dan rakan-rakan sekerja kerana anda tidak meminjam wang daripada mereka setiap kali kita mempunyai masalah kewangan.

Kita juga akan merasa bebas daripada masalah kewangan kerana kita telah merancang akan keperluan masa hadapan serta mempunyai tabungan atau insurans untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Kita dapat mencapai matlamat hidup bukan sahaja untuk diri kita sendiri tetapi juga untuk keluarga.

Maka dengan membuat perancangan kewangan, kita akan menyedari akan keperluan masa kini dan masa hadapan, sumber-sumber kewangan yang dimiliki serta sumber kewangan yang diperlukan serta cara sebaik mungkin untuk memperolehi sumber dengan cara terbaik. Yang paling penting sekali, kita akan rasa tenang dan memperolehi keamanan dalam kehidupan anda.

Sumber: AKPK

Last Updated on Tuesday, 19 July 2011 04:14