Celik Kewangan Anak Muda
Home Panduan untuk anak muda Celik Kewangan Anak Muda
Celik Kewangan Anak Muda PDF Print E-mail
Tuesday, 19 July 2011 03:22

Akhbar Berita Harian bertarikh 24 Julai 2010 menyiarkan artikel bertajuk “Muflis Muda” yang memberikan satu gambaran yang cukup menakutkan.  Dalam tempoh antara tahun 2005 sehingga Mei 2010, seramai 80,000 kes muflis direkodkan.  Ini bermakna 41 orang bankrap setiap hari yang antara sebabnya berpunca daripada kegagalan menyelesaikan pinjaman sewa beli kenderaan, tidak dapat mengawal penggunaan kad kredit hingga banyak hutang tertunggak, selain pinjaman peribadi.


Apa yang lebih membimbangkan ialah daripada jumlah keseluruhan yang diisytiharkan muflis, lebih 16 peratus atau 13,128  individu berusia antara 25 hingga 34 tahun. Mengikut laporan itu lagi, kebanyakan pemegang kad kredit adalah kalangan golongan muda yang menggunakan kemudahan itu untuk berbelanja barangan tidak perlu dan mewah.


Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi menjelaskan kebanyakan kes muflis membabitkan golongan muda adalah berkaitan penggunaan kad  kredit tidak terkawal dan gagal membayar balik hutang dalam tempoh ditetapkan berbanding kes golongan lebih berusia yang majoritinya berkaitan soal pinjaman perumahan, kenderaan dan perniagaan.


Menurut statistik, terdapat lebih 10 juta pengguna kad kredit di negara ini yang berhutang  sebanyak RM 24.4 bilion, tetapi hanya 30 peratus daripada mereka yang membayar balik secara penuh pada setiap bulan.  


Pengiraan secara statistik menunjukkan sekiranya seseorang itu berhutang RM 1,000 melalui kad kredit dan hanya membuat bayaran minimum sebanyak lima peratus setiap bulan, beliau akan mengambil masa selama lima tahun lapan bulan untuk melangsaikan hutangnya termasuk kadar faedah.


Menurut kajian akhbar yang sama menunjukkan pengguna kad kredit cenderung untuk berbelanja 17 peratus lebih daripada individu yang berurusan menggunakan wang tunai.
Jelaslah bahawa penggunaan kad kredit yang tidak terkawal ini amat membimbangkan serta boleh memusnahkan masa hadapan generasi muda.


Bagaimanakah kita hendak menyediakan generasi masa hadapan untuk menjadi “celik wang” atau “financially fit”?
Ibu bapa memainkan peranan utama dalam hal ini. Semenjak daripada kanak-kanak lagi, ibu bapa harus menanam nilai-nilai dan kemahiran untuk melengkapkan anak mereka untuk memahami tentang pengurusan kewangan, seperti berbelanja, menabung dan melabur.  Pendidikan kewangan akan melengkapkan kanak-kanak untuk menghadapi dunia luar dengan kemahiran-kemahiran tertentu untuk membina masa hadapan kewangan yang lebih cerah.


Kajian menunjukkan bahawa jika lebih banyak maklumat dan pengetahuan disampaikan oleh ibu bapa kepada anak mereka mengenai pengurusan kewangan, maka anak mereka akan dapat mengawal kewangan mereka dengan lebih baik dan hasilnya mereka mempunyai hutang yang kurang. Jika semenjak kecil kanak-kanak dipupuk mula menabung, maka anak-anak akan tahu mengenai nilai wang.


Terdapat banyak perkara yang ibu bapa boleh buat untuk mendidik anaknya. Mereka boleh berbincang tentang bajet keluarga.  Mereka boleh memberi nasihat tentang cara untuk mengurangkan perbelanjaan. Mereka juga boleh menunjukkan penyata kad kredit dan menerangkan bagaimana kadar faedah dikira dan risiko penggunaan kad kredit yang tidak terkawal dan berdisiplin.


Pertama, ibu bapa juga harus menggalakkan anak-anak untuk menabung semenjak kecil. Mereka harus menerangkan kenapa pentingnya simpan sedikit untuk membeli apa yang diminati yang lebih mahal atau untuk menghadapi sebarang kecemasan.  Mereka harus menekankan betapa pentingnya pengurusan kewangan. Seterusnya menerangkan mengenai akibat-akibat yang negatif, seperti diisytharkan muflis, sekiranya kewangan peribadi tidak diurus dengan baik.  Kanak-kanak juga harus memahami maksud muflis dan kesan negatifnya kepada masa hadapan sesorang.


Keduanya, pendidikan kewangan harus dimasukkan dalam kurikulum sekolah mulai tahun pertama kanak-kanak masuk sekolah.  Penekanan di sekolah haruslah ke arah menyediakan kanak-kanak dengan pengetahuan dan kemahiran kewangan dan bukan hanya untuk lulus peperiksaan sahaja.  Pengurusan kewangan boleh dianggap sebagai satu kemahiran hidup atau lifeskill, maka pendekatan dalam menyampaikan kemahiran ini harus lebih kepada pengajaran secara interaktif dan melalui aktiviti, permainan, kajian kes dan role play. Penekanan adalah kepada pembelajaran kemahiran dan bukannya menghafal fakta untuk lulus peperiksaan.


Ketiganya, pendidikan kewangan harus disampaikan kepada semua kanak-kanak melalui pendidikan informal.  Latihan ini boleh disampaikan oleh agensi kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan.  Akan tetapi penting sekali bahawa semua pelajar sekolah diberi peluang untuk mempelajari kemahiran ini.


Yang pentingnya, setiap individu diberikan peluang untuk memahami dan mendalami kemahiran asas kewangan. Jelas berdasarkan data-data tentang “muflis muda” ini dapat memberikan gambaran yang agak menakutkan. Jika kita hendak mengubah arus itu pada masa hadapan, kita harus bermula daripada sekarang dengan tindakan-tindakan yang konkrit.  


Jika tidak, masa hadapan generasi muda akan terjejas dengan dibebani hutang. Kita harus membina anak-anak muda kita ke arah celik kewangan.