Perkara yang perlu diketahui sebelum membeli kereta Print
Tuesday, 19 July 2011 03:13

Jika sekitar tahun 1960an, kereta dianggap sebagai barangan mewah yang hanya dimiliki golongan tertentu saja. Tetapi sejak 30 tahun kebelakangan ini, kereta sudah menjadi barang keperluan asas yang perlu dimiliki untuk memudahkan aktiviti seharian.


Bukan hanya golongan yang bekerja yang memiliki pendapatan tetap, ibu bapa turut menyediakan kereta untuk kemudahan anak-anak mereka belajar termasuk berulang alik ke kampus.


Tetapi sebelum memiliki kenderaan, banyak perkara yang perlu diambil kira. Mulakan dengan membuat anggaran perbelanjaan yang layak dan sesuai dengan bajet bulanan bagi memilih kereta yang sesuai dengan pendapatan.


Lawati beberapa bilik pameran kereta untuk meninjau harga yang ditawarkan. Lazimnya, harga yang ditawarkan tidak banyak beza, tetapi kadang-kala ada juga pengedar yang menawarkan harga istimewa dan pakej menarik.


Untuk membuat pinjaman pembelian kenderaan pula, rajin-rajinlah ke beberapa bank untuk mendapatkan maklumat mengenai kadar faedah yang dikenakan. Tetapi selalunya, pengedar akan membantu menguruskannya bagi pihak pelanggan, cuma anda boleh membandingkan kadar faedah dengan beberapa bank.


Adakah aksesori kereta penting? Anda perlu bertanya soalan ini pada diri sendiri. Jika anda dipujuk untuk membeli kereta yang dilengkapi aksesori tetapi dengan kegunaan yang terhad, anda mempunyai hak untuk menolaknya. Penjual akan menggunakan pelbagai alas an untuk menjual produk mereka. Sebagai pengguna, anda boleh melihat pilihan lain jika tidak setuju dengan apa yang ditawarkan pembeli itu.


Ada pendapat yang menyatakan jika anda baru lulus lesen memandu dan mahu memiliki kereta, lebih baik membeli kereta terpakai. Ini bagi mengelakkan anda menanggung kerugian teruk jika terbabit dalam kemalangan kecil dan harga kereta terpakai lebih murah. Tetapi membeli kereta terpakai juga perlu berhati-hati kerana jika tersilap beli, anda terpaksa menanggung kos penyelenggaraan yang tinggi.


Elakkan daripada membuat pembiayaan semula terhadap kenderaan yang anda beli. Anda terpaksa membayar lebih lama walaupun ansurannya semakin kecil.


Ada kala penjual kereta akan menawarkan bayaran pendahuluan yang rendah. Bagaimanapun, di sebalik bayaran pendahuluan yang rendah sebenarnya jumlah selebih dimasukkan ke dalam pinjaman. Justeru itu, dengan kadar faedah yang tinggi, pembeli juga terpaksa membayar ansuran pinjaman yang tinggi.


Lebih baik lagi, bawalah rakan atau ahli keluarga anda yang tahu selok belok mengenai kereta untuk menemani anda memilih kereta. Jika anda ada rakan yang bekerja sebagai mekanik ia adalah satu bonus. Dapatkan nasihat mereka terutama mengenai pemilihan kereta terpakai.


Jadilah pembeli yang bijak. Beli kenderaan mengikut kemampuan diri sendiri mengikut kegunaan.


Sumber: Berita Harian, 28-9-2009