Tip Pengurusan Kad Kredit |
Tuesday, 19 July 2011 00:15 |
“Pandai gunakan kad kredit?” Alangkah peliknya soalan ini – takkan saya tak tahu! Senang sahaja: Apabila membeli, berikan kad kredit kepada juruwang, kemudian hanya perlu tandatangan pada resit yang diberikan (kadang-kadang saya tak perlu tandatangan pun, hanya lambai dan pergi!). Jika saya sentiasa membayar jumlah minimum bulanan, banyak pula kredit percuma yang diperolehi. Saya juga tak perlu risau jika perbelanjaan kad saya sudah sampai ke tahap maksimumnya. Syarikat pengurusan kad kredit itu tentu akan menambahkan had kredit saya, dan syarikat-syarikat lain pula pasti akan menawarkan kad-kad yang lain sehingga saya pun tidak terdaya untuk menggunakan semuanya! Adakah anda sering mendengar kata-kata seperti ini? Sudah tentu. Perkara ini bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana inilah pendekatan yang diambil oleh berjuta-juta pengguna kad plastik ini, seolah-olah membeli barang merupakan kegiatan yang sungguh mudah. Awas! Pengurusan kewangan yang sebegini telah memudaratkan kebanyakan keluarga. Apatah lagi dengan kenaikan harga barang-barang yang tidak selari dengan jumlah pendapatan. Kebanyakan orang Malaysia terpaksa berbelanja melebihi daripada kemampuan masing-masing. Hutang kad kredit mungkin kelihatan seperti perkara yang agak kecil tetapi ia boleh menimbulkan masalah yang jauh lebih besar sekiranya tidak berhati-hati. Fakta tentang Kad Kredit Perangkap Belanja Mungkinkah pelajar yang berani berhutang ini terlalu yakin bahawa mereka akan memperoleh gaji yang tinggi setelah tamat pengajian kelak. Mereka berpendapat bahawa hutang itu akan luput dalam jangkamasa yang singkat. Malangnya, ramai graduan mendapati realiti masa hadapan mereka jauh berbeza daripada apa yang telah dijangkakan. Kini mereka sudah selesa dengan bilangan baki bulanan tersebut dan sedar bahawa mereka telah terperangkap: hutang yang terus meningkat, yang tidak sesuai dengan pendapatan mereka yang ala kadar. Bukan orang muda sahaja yang mendapati diri mereka terperangkap di dalam situasi begini. Malah, orang dewasa yang berfikiran cukup matang juga tergoda dengan kemudahan kredit ini. Banyak iklan memaparkan produk baru dan canggih yang kononnya “ganjaran” kepada anda! Ya, amat sukar bagi anda untuk menolak tawaran hebat seperti barang-barang rekreasi, pakaian dan gajet-gajet termoden yang sering diberikan. Walaupun anda mungkin tidak mahu berfikiran negatif, namun anda tidak dapat mengelakkan masalah kewangan sekiranya sering tidak mengendahkan realiti yang berlaku. Kemerosotan ekonomi membuatkan ramai orang terdesak dan terjatuh dalam beban kewangan. Hanya mereka yang telah membuat persediaan untuk menghadapi situasi yang kurang baik sebegini akan dapat bertahan di dalam suasana yang sukar. Apakah yang harus dilakukan untuk mengelakkan diri anda daripada menjadi sebahagian daripada angka statistik yang menyedihkan ini? Cara Pembayaran Balik Hutang Kad Kredit Langkah kedua: Hentikan transaksi menggunakan kad kredit. Bekukan penggunaan kad kredit anda. Buat pembayaran secara tunai. Kemudian senaraikan hutang kad-kad kredit yang masih ada. Kenal pasti kad yang mengenakan caj kewangan yang paling tinggi. Mungkin anda berpeluang untuk pindahkan baki daripada kad berfaedah tinggi kepada kad yang menawarkan kos yang lebih rendah (tentukan anda membaca semua maklumat yang diberi supaya tidak dikenakan kos yang tersembunyi). Seterusnya, susunkan kad-kad anda mengikut kadar caj kewangan. Gunakan baki pendapatan untuk membayar balik kad yang mempunyai hutang paling tinggi. Setelah hutang kad yang paling tinggi itu selesai, tutup akaun tersebut dan musnahkan kad itu. Kemudian ubahkan fokus anda kepada kad yang seterusnya; teruskan langkah-langkah di atas sehingga semua hutang anda telah selesai. Sebaik sahaja hutang kad kredit anda luput, hanya simpan beberapa kad sahaja – hanya dua atau tiga untuk penggunaan yang boleh dikawal. Cara Penggunaan Kad Kredit Yang Baik Pendekatan terpenting dalam penggunaan kad kredit adalah tanggungjawab anda untuk membayar jumlah baki dalam penyata anda setiap bulan. Bayangkan kad kredit itu sebagai wang tunai yang disimpan setiap bulan bagi barang-barang yang dicaj. Dengan perumpamaan ini, anda tidak akan dikenakan kos; kad kredit anda pula akan menjadi kemudahan kewangan yang amat berguna bagi anda. Kad kredit juga adalah salah satu langkah keselamatan atau perlindungan tambahan dan kemudahan sewaktu membeli-belah dan melancong, dengan syarat kita tidak menyalahgunakannya. Sebagai contoh, anda mempraktikkan bayaran hanya 5% atau RM50 minimum setiap bulan, yang mana lebih tinggi. Bagi baki RM10,000 yang mengenakan caj kewangan sebanyak 18% setahun, anda akan mengambil masa 7 tahun dan 3 bulan untuk menyelesaikan seluruh baki hutang anda. Dan ini juga dengan anggapan bahawa anda tidak lagi menambahkan caj. Bayangkan betapa cepatnya hutang anda akan meningkat jika apa yang dipraktikkan ini melibatkan banyak kad kredit lain pada masa yang sama. Petua-petua tambahan yang boleh membantu:
Dan peringatan terakhir – gunakanlah kad kredit sebagai alat pembayaran dan bukan untuk kredit percuma. Jika anda tidak dapat menggunakannya dengan waras atau bertanggungjawab, mungkin lebih baik bagi anda untuk hentikan penggunaannya sama sekali. Artikel ini adalah sumbangan dari Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). AKPK merupakan sebuah agensi yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia sejak 2006, dan mereka menawarkan perkhidmatan dari segi pendidikan kewangan, kaunseling kewangan dan program pengurusan kredit. Hubungi AKPK melalui 1-800-88-2575 atau layari laman web www.akpk.org.my. AKPK turut berada di www.youtube.com, www.facebook.com dan juga di www.twitter.com/AKPK1. Perkhidmatan AKPK kepada individu adalah percuma. |