Home Kad Kredit Kad Caj dan Anda
Kad Caj dan Anda PDF Print E-mail
Monday, 18 July 2011 23:53

Kad caj ialah kad bayaran yang mempunyai had perbelanjaan yang telah ditetapkan. Kad ini membolehkan pemegangnya membuat bayaran untuk sebarang perkhidmatan ataupun barangan yang dibeli daripada kedai-kedai saudagar yang terlibat. Contoh-contoh kad caj di antaranya ialah American Express, Diners Club International.

Mengetahui Yuran dan Caj

  • Yuran Penyertaan
    • Yuran yang mungkin dikenakan sekali sahaja oleh pengeluar kad caj ialah yuran penyertaan, juga dikenali sebagai yuran kemasukan ataupun yuran keahlian. Yuran penyertaan ini mungkin berbeza di kalangan pelbagai pengeluar kad caj dan untuk memikat pemohon baru, sesetengah pengeluar kad caj mungkin mengecualikan sahaja yuran penyertaan ini.
  • Yuran Tahunan
    • Ini ialah yuran tetap yang wajib dibayar setahun sekali, walaupun anda tidak pernah menggunakan kad caj tersebut. Yuran tahunan biasanya di dalam lingkungan RM80 hingga RM160 untuk pemegang kad utama dan di antara RM40 hingga RM125 untuk pemegang kad tambahan. Walau bagaimanapun, pengeluar kad caj mungkin memansuhkan yuran tahunan sebagai promosi untuk menarik minat pemohon kad baru.
  • Caj Bayaran Lewat
    • Anda akan dikenakan caj bayaran lewat jika anda gagal untuk melunaskan bayaran sepenuhnya sebelum atau pada tarikh tamat tempoh atau hanya membayar sebahagian daripada baki belum jelas anda. Bergantung kepada pengeluar kad caj, caj bayaran lewat lazimnya adalah di antara 3.0% hingga 3.5% sebulan (atau 36% hingga 42% setahun) daripada jumlah baki belum jelas atau caj minimum sebanyak RM15 hingga RM50, mengikut mana yang lebih tinggi. Sesetengah pengeluar kad caj mungkin mengenakan caj tambahan di samping caj bayaran lewat jika anda gagal untuk melunaskan baki anda sepenuhnya pada bulan kedua dan seterusnya. Bagi kad caj yang berlandaskan prinsip Islam, anda akan dikenakan caj ganti rugi sehingga ke satu tahap maksimum yang dibenarkan, biasanya sebanyak RM70 sebulan.
  • Yuran Pendahuluan Wang Tunai
    • Sesetengah pengeluar kad caj mungkin juga menyediakan kemudahan pendahuluan wang tunai. Jika anda menggunakan kemudahan ini, anda akan dikenakan yuran pendahuluan wang tunai, lazimnya di antara 3% hingga 4% daripada jumlah pendahuluan wang tunai ataupun caj minimum sebanyak RM15 hingga RM30, mengikut mana yang lebih tinggi. Jumlah pendahuluan wang tunai perlu dibayar balik sepenuhnya sebelum tarikh tamat tempoh. Beberapa had mungkin dikenakan seperti had maksimum pengeluaran. Bagi kad caj yang berlandaskan prinsip Islam, anda akan dikenakan yuran tetap untuk pendahuluan wang tunai, lazimnya sebanyak RM15 untuk setiap urus niaga.

Tip Memilih Kad Caj
Anda dinasihatkan agar membuat perbandingan yang sewajarnya dalam memilih kad caj yang bersesuaian dengan anda dengan mempertimbangkan faktor-faktor berikut:        
Hadiah Promosi dan Tawaran Istimewa  - Pengeluar kad caj mungkin menawarkan pelbagai hadiah promosi yang menarik untuk setiap permohonan yang berjaya termasuklah kamera, jam dan beg pakaian. Walau bagaimanapun, terdapat terma dan syarat yang terikat dengan tawaran ini. Oleh itu, berikan lebih perhatian sebelum mendaftar. Fahami tanggungjawab anda sekiranya anda tidak memenuhi syarat sepanjang tempoh promosi.    

  • Yuran dan Caj - Terdapat pengeluar kad caj yang mungkin menghapuskan yuran penyertaan dan yuran tahunan bagi tahun pertama, tetapi mengenakan caj bayaran lewat yang lebih tinggi. Oleh itu, bandingkan yuran dan caj untuk membuat keputusan yang betul.       
  • Tempoh Tanpa Faedah  - Pengeluar kad caj menawarkan tempoh tanpa faedah bermula dari tarikh urus niaga direkodkan atau tarikh penyata, sehingga ke tarikh tamat tempoh berakhir. Anda harus memilih kad caj yang menawarkan tempoh tanpa faedah yang lebih panjang untuk melunaskan baki belum jelas anda tanpa menanggung caj tambahan.     
  • Liabiliti Terhad  - Pengeluar kad caj mungkin mengehadkan liabiliti anda sehingga kepada tahap jumlah maksimum bagi urus niaga tanpa kebenaran akibat kehilangan atau kecurian kad caj. Anda mungkin bertanggungjawab sepenuhnya ke atas semua kerugian, atau ke satu tahap maksimum, selagi anda tidak memaklumkan pengeluar kad caj mengenai kehilangan kad tersebut. Sesetengah pengeluar kad caj mungkin tidak mengehadkan liabiliti anda untuk urus niaga tanpa kebenaran. Oleh itu anda haruslah memilih kad caj yang mempunyai peruntukan liabiliti terhad.
  • Khidmat Pelanggan - Anda juga mungkin ingin mengambil kira tahap khidmat pelanggan yang disediakan oleh pengeluar kad caj sebelum mengemukakan sesuatu permohonan kepada institusi berkenaan.

Mengelakkan Penipuan Kad Caj

  • Seperti mana kad bayaran lain, penggunaan kad caj melibatkan risiko. Sebagai pemegang kad caj, anda boleh mengambil beberapa langkah untuk meminimumkan risiko menjadi mangsa penipuan. Berikut adalah beberapa langkah yang anda boleh ambil untuk melindungi diri anda daripada gejala penipuan kad caj:           
  • Tandatangani kad caj anda sebaik sahaja ia diterima
  • Jangan pinjamkan kad caj anda kepada sesiapapun
  • Jangan berikan maklumat kad caj anda kepada pihak yang tidak dikenali
  • Hafal nombor PIN anda dan jangan catatkan nombor PIN tersebut di belakang kad, menyimpannya di dalam dompet atau mendedahkannya kepada orang lain
  • Pastikan kad caj yang telah luput dipotong dua apabila anda menerima kad baru
  • Perhatikan kad caj anda ketika membuat urus niaga dan dapatkannya semula dengan secepat mungkin
  • Jangan menandatangani slip pembayaran yang kosong
  • Periksa maklumat pada slip sebelum menandatangani atau mengesahkan sebarang transaksi
  • Semak semua butir-butir yang terdapat pada slip pembayaran sebelum menandatangani atau mengesahkan setiap urus niaga
  • Apabila menempah atau membuat pembelian melalui telefon, jangan berikan butir-butir kad caj anda seperti nombor kad dan tarikh luput kecuali anda membuat urus niaga dengan pihak yang anda kenali     
  • Simpan semua slip pembayaran anda dan bandingkan dengan penyata bulanan kad caj anda sebaik sahaja ianya diterima
  • Maklumkan pengeluar kad caj anda dengan serta-merta jika terdapat sebarang kesilapan atau kemungkinan berlaku urus niaga tanpa kebenaran berkaitan kad caj atau nombor PIN anda dengan diikuti oleh laporan bertulis
  • Musnahkan semua slip pembayaran sebelum anda membuangnya
  • Simpan kad caj anda di tempat yang sama di dalam dompet supaya jika ia hilang atau dicuri, anda akan menyedarinya dengan serta-merta
  • Simpan nombor telefon pengeluar kad caj anda supaya anda dapat menghubunginya dengan serta-merta untuk melaporkan sebarang kehilangan/kecurian kad, urus niaga tanpa kebenaran atau pendedahan nombor PIN kepada pihak ketiga
Last Updated on Monday, 18 July 2011 23:59