Lindungi diri anda daripada penipuan insurans
Home Insurans Lindungi diri anda daripada penipuan insurans
Lindungi diri anda daripada penipuan insurans PDF Print E-mail
Monday, 18 July 2011 23:33

Apakah penipuan insurans?
Penipuan insurans adalah termasuk segala tipudaya /  ketidakjujuran yang dibuat dengan sengaja terhadap atau oleh syarikat insurans atau pengendali takaful, ejen insurans atau ejen takaful, atau pengguna untuk mendapatkan keuntungan kewangan yang tidak wajar.
Ia berlaku dan mungkin dilakukan dalam transaksi yang berasingan oleh pihak yang berlainan, misalnya pemegang polisi, pihak ketiga yang membuat tuntutan, pengantara dan kalangan profesional yang memberikan perkhidmatan kepada pihak yang menuntut.
Bentuk penipuan mungkin berbeza-beza, daripada tuntutan yang sah tetapi nilainya dinaikkan /  diperbesarkan hinggalah kepada tuntutan yang sengaja diada-adakan atau palsu di mana kerugian sebenarnya tidak pernah berlaku.


Komponen utama penipuan insurans adalah:

  • Niat untuk memperdaya
  • Keinginan untuk mempengaruhi syarikat insurans atau pengendali takaful supaya membayar lebih daripada yang sepatutnya.

Contoh penipuan insurans:
Penipuan berlaku dalam semua kelas insurans. Contoh penipuan insurans termasuklah:-

Mewujudkan tuntutan palsu

  • Kemalangan disengajakan misalnya melalui ‘tumpahan minyak’ atau kemalangan berangkai yang disengajakan dengan tujuan untuk mendapatkan kebenaran bagi kenderaan diperbaiki.
  • Tuntutan palsu terhadap kemalangan atau kecederaan yang tidak pernah berlaku
  • Membuat tuntutan terhadap polisi insurans kemalangan diri bagi kecederaan yang disengajakan
  • Kemalangan akibat terjatuh atau tergelincir yang disengajakan
  • Tuntutan palsu tentang objek asing yang dijumpai di dalam makanan atau minuman
  • Menipu tentang berlakunya kematian untuk mendapatkan bayaran manfaat atau mengemukakan tuntutan kematian palsu
  • Pecah masuk, kecurian atau vandalism yang disengajakan
  • Arson (iaitu menyebabkan kebakaran dengan sengaja)
  • Penipuan tentang kecurian kenderaan
  • Kemalangan empunya rumah yang disengajakan

Mengemukakan amaun kerugian yang terlalu tinggi

  • Meninggikan atau ‘menokok-tambah’ nilai tuntutan di mana tahap kerosakan atau kecederaan yang dialami dalam kemalangan sebenar telah diperbesarkan
  • Meninggikan nilai barang yang dicuri semasa berlaku pecah masuk/kecurian
  • Pembekal perkhidmatan perubatan meninggikan bil perubatan

Menyatakan fakta salah untuk mendapatkan bayaran:

  • Membuat tuntutan berganda dengan mempunyai perlindungan insurans berganda dengan syarikat insurans atau pengendali takaful yang berlainan untuk satu kenderaan dan untuk sesuatu kemalangan tertentu
  • Membuat tuntutan bagi kerosakan yang telah dialami sebelum kemalangan semasa berlaku
  • Membuat tuntutan hilang upaya separa atau menyeluruh dari kecederaan ringan yang disengajakan
  • Mendapat bayaran hilang upaya walhal bekerja di tempat lain dan menjalankan tugas kerja yang sama atau serupa
  • Pembekal perkhidmatan perubatan mengenakan bayaran bagi perkhidmatan yang tidak diberikan
  • Membuat tuntutan hilang upaya palsu
  • Pembekal perkhidmatan perubatan memberikan rawatan perubatan yang tidak diperlukan
  • Mengenakan bayaran ke atas pemeriksaan perubatan yang tidak diberikan

Ejen palsu / penjualan nota perlindugan palsu:

  • Penjual insurans oleh syarikat insurans atau pengendali takaful yang tidak berlesen atau seseorang yang menyamar sebagai ejen pengendali takaful
  • Penjualan nota perlindungan palsu oleh “ulat-ulat” sindiket terancang kepada orang ramai yang secara sedar atau tidak, membeli nota perlindungan tersebut untuk tujuan mendapatkan cukai jalan kenderaan mereka

Mengapakah anda perlu mengambil tahu tentang penipuan insurans?
Untuk mengandaikan bahawa penipuan insurans sebagai jenayah ‘tidak bermangsa’ atau ‘tersembuyi’ adalah suatu anggapan yang salah kerana pada hakikatnya penipuan insurans mendatangkan keburukan kepada semua. Penipuan insurans mengakibatkan:

  1. Premium yang lebih tinggi dan harga yang lebih tinggi bagi barangan dan perkhidmatan
    • Kos yang perlu dibayar oleh syarikat insurans atau pengendali takaful untuk memerangi dan membayar tuntutan palsu akan akhirnya disalurkan kepada orang ramai yang membeli insurans dalam bentuk premium yang lebih tinggi. Penipuan insurans juga mengakibatkan harga barangan dan perkhidmatan menjadi lebih tinggi oleh kerana peniaga akan menyalurkan kos yang lebih tinggi untuk menginsuranskan harta dan stok mereka kepada pengguna
  2. Berkurangannya penawaran insurans
    • Syarikat insurans atau pengendali takaful mungkin akan mengenakan keperluan pengunderaitan yang lebih ketat dan menghadkan skop perlindungan bagi meminimumkan kerugian disebabkan penipuan.  Syarikat insurans atau pengendali takaful juga mungkin menarik balik perlindungan insurans bagi sektor yang banyak berlaku penipuan insurans.
  3. Kelewatan penyelesaian tuntutan tulen
    • Syarikat insurans atau pengendali takaful akan lebih berwaspada terhadap penipuan dan akan menjalankan penyiasiatan yang rapi jika mengesyaki ada penipuan. Prosedur penyelesaian tuntutan yang ketat yang dilaksanakan oleh syarikat insurans atau pengendali takaful untuk mengelakkan penipuan akhirnya akan menyebabkan kelewatan dalam menyelesaikan tuntutan yang tulen

Sebagai pengguna, anda mempunyai peranan dalam memerangi penipuan. Pastikan anda tidak melakukan penipuan secara sedar atau membantu orang lain melakukan penipuan. Syarikat insurans atau pengendali takaful berhak untuk menafikan liabiliti atau menolak tuntutan anda sekiranya terbukti ada undur penipuan dalam tuntutan insurans atau takaful anda.

Sumber: Lindungi diri anda daripada penipuan insurans, Info Insurans