Home Insurans Insurans Kemalangan Peribadi
Insurans Kemalangan Peribadi PDF Print E-mail
Monday, 18 July 2011 23:21

Insurans kemalangan peribadi (personal accident) adalah polisi tahunan yang memberikan anda 24 jam perlindungan insurans seluruh dunia terhadap kecederaan, ketidakupayaan atau kematian yang disebabkan oleh kemalangan.

Anda boleh mengambil polisi kemalangan peribadi  untuk diri anda atau bagi pihak orang lain seperti suami/isteri anda. Polisi juga boleh digunakan untuk melindungi sekumpulan individu contohnya polisi yang diambil untuk keluarga atau polisi yang diambil oleh majikan untuk pekerjanya.

Perkara yang perlu anda tahu apabila membeli polisi kemalangan peribadi

Skala faedah

Ini merujuk kepada jumlah yang akan dibayar oleh syarikat insurans untuk beberapa jenis tuntutan seperti kehilangan anggota badan, penglihatan, pendengaran dan sebagainya akibat kecederaan. Sebagai contoh, skala faedah mungkin menyatakan yang anda akan menerima 10% daripada jumlah yang diinsuranskan bagi kehilangan jari telunjuk.

Menamakan pewaris

Anda perlu menamakan seseorang sebagai pewaris untuk menerima wang yang telah dibayar di bawah polisi tersebut. Ini boleh dilakukan ketika anda memohon polisi kemalangan peribadi atau pada bila-bila waktu selepas polisi dikeluarkan. Anda juga perlu memaklumkan kepada individu terlibat bahawa anda telah menamakannya sebagai pewaris.

Insurans berganda (multiple insurance)

Terma ini bermaksud anda mempunyai lebih daripada satu polisi kemalangan peribadi. Jika sedemikian, selepas kematian atau ketidakupayaan anda, anda atau pewaris anda akan dibayar mengikut setiap polisi yang telah beli. Walau bagaimanapun, untuk tuntutan tertentu seperti tuntutan perbelanjaan perubatan, anda boleh menuntut daripada satu polisi sahaja. Jika jumlah yang anda tuntut melebihi apa yang anda bayar di bawah polisi kemalangan peribadi, anda boleh menuntut baki jumlah yang tidak mencukupi daripada polisi kedua dan seterusnya. Namun anda tidak boleh menuntut lebih daripada jumlah perbelanjaan perubatan yang telah anda bayar.

Anda perlu isytiharkan polisi kemalangan peribadi lain yang telah anda beli dalam borang cadangan (proposal form). Jika anda membeli ekstra perlindungan kemalangan peribadi daripada syarikat insurans lain, anda perlu memaklumkan syarikat insurans anda tentang perkara tersebut.

Tanggungjawab untuk mendedahkan (Duty of disclosure)

Anda perlu menyatakan secara penuh segala fakta yang penting dalam borang permohonan seperti kesihatan, pekerjaan, nombor polisi yang anda miliki. Ini membolehkan syarikat insurans untuk mempertimbangkan permohonan anda dengan baik. Jika anda gagal untuk menyatakan fakta-fakta inim syarikat insurans anda akan menolak tuntutan anda.

Apabila anda dilindungi, anda perlu sentiasa memaklumkan syarikat insurans anda sekiranya anda menukar pekerjaan kerana ini boleh memberi kesan kepada risiko profil anda.

Sumber: Bank Negara Malaysia