Home Insurans Insurans Hayat
Insurans Hayat PDF Print E-mail
Monday, 18 July 2011 23:17

Apakah insurans hayat?
Dalam insurans hayat, sebilangan besar orang (dipanggil pemegang polisi) membayar sejumlah wang (premium) ke dalam suatu dana yang diurus oleh syarikat insurans. Apabila seseorang di dalam kumpulan itu ditimpa kesusahan, dia akan diberi sejumlah wang daripada dana tersebut untuk membantu meringankan kesusahannya.

Bagaimanakah saya membeli polisi insurans hayat?
Anda boleh memilih untuk membeli polisi insurans hayat daripada institusi kewangan seperti bank yang mempunyai urusan bankasurans dengan syarikat insurans, melalui broker insurans atau ejen insurans hayat. Sekiranya anda membuat keputusan untuk membeli polisi insurans melalui ejen, sebelum berurusan dengan ejen, anda hendaklah berpuas hati dengan reputasi dan kelayakan ejen tersebut. Semua ejen yang menjual insurans hayat adalah berdaftar dengan Persatuan Insurans Hayat Malaysia [Life Insurance Association of Malaysia (LIAM)], dan dimestikan lulus peperiksaan yang dikendalikan oleh Institut Insurans Malaysia. Apabila berurusan dengan ejen, pastikan anda meminta untuk melihat kad kuasa beliau yang dikeluarkan oleh LIAM .

Kontrak polisi
Apabila anda membeli polisi insurans hayat, wujud kontrak di antara anda dengan syarikat insurans. Anda bersetuju untuk membayar premium bagi tempoh tertentu dan, sebagai balasan, syarikat insurans akan membayar kepada penama atau estet anda sejumlah wang berikutan kematian anda. Sekiranya anda mengalami hilang upaya menyeluruh dan kekal atau sebarang situasi yang ditetapkan, bayaran akan dibuat kepada anda. Dalam kes hilang upaya menyeluruh dan kekal, wang itu biasanya dibayar secara ansuran. Anda mestilah sentiasa membaca cetakan halus di dalam kontrak dan memahami had-had atau klausa pengecualiannya.

Mengapakah saya perlu membeli insurans hayat?
Anda mungkin ingin membeli polisi insurans hayat atas sebab-sebab berikut:

  • Memastikan agar keluarga terdekat anda mempunyai wang tunai dan pendapatan selepas kematian anda agar mudah bagi mereka untuk membayar bil, cukai dan obligasi-obligasi lain.
  • Supaya keluarga terdekat anda dapat terus mengekalkan taraf hidup mereka selepas kematian anda.
  • Agar anak anda mempunyai wang untuk pendidikannya.
  • Supaya anda mempunyai pelan tabungan untuk masa hadapan agar apabila bersara, anda akan mempunyai punca pendapatan berterusan.
  • Agar anda mempunyai pendapatan sampingan apabila pendapatan anda berkurangan berikutan penyakit yang serius atau kemalangan.

Walau apapun sebabnya, anda perlu berhati-hati apabila memilih polisi agar bersesuaian dengan keperluan anda.  Ambillah masa untuk berbincang dengan syarikat insurans atau pengantaranya tentang polisi yang ingin anda beli.
 
Pelepasan cukai pendapatan
Anda boleh menuntut pelepasan cukai terhadap premium yang anda bayar, tertakluk kepada terma dan syarat tertentu. Bagi polisi hayat biasa, amaun maksimum pelepasan ialah RM6,000 termasuk apa-apa sumbangan yang anda buat kepada skim manfaat persaraan yang diluluskan, seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja atau skim-skim pencen yang lain. Bagi polisi perubatan atau pendidikan, pelepasan cukainya ialah RM3,000 setahun.

Apakah polisi yang patut saya beli?
Anda mestilah memilih jenis polisi yang paling sesuai dengan kedudukan diri anda. Sekiranya anda masih muda dan ingin memastikan pasangan dan anak anda akan terbela jika anda tiba-tiba meninggal dunia, insurans bertempoh adalah paling sesuai. Sekiranya anda telah berumur dan mempunyai keluarga yang lebih mantap, jenis premium tetap dan polisi yang mengumpul nilai tunai adalah lebih sesuai. Anda hendaklah memahami skop perlindungan yang diberikan di bawah polisi, terma dan syarat serta pelbagai kos perlindungan insurans. Anda juga harus mengetahui apa akan terjadi sekiranya anda ingin beralih daripada satu syarikat insurans kepada syarikat insurans yang lain, atau sekiranya anda ingin berpindah daripada satu jenis polisi kepada polisi lain.

Kepentingan pendedahan
Anda mestilah memberikan semua fakta dalam borang permohonan anda sepenuhnya dan secara jujur. Sekiranya ejen anda mengisikan borang permohonan untuk anda, baca dan fahamilah keperluan dalam borang tersebut dengan teliti sebelum anda menandatangani borang berkenaan. Jika tidak, polisi insurans hayat anda mungkin boleh terbatal.

Perkara yang perlu diingati

  • Buatlah catatan tentang tarikh premium yang perlu dibayar. Sekiranya premium tidak dibayar mengikut tarikhnya, polisi insurans hayat anda mungkin akan luput.
  • Pastikan anda sentiasa meminta resit sebagai bukti bayaran. Ini akan membantu penyiasatan sekiranya ejen anda gagal menyampaikan premium itu kepada syarikat insurans.
  • Pastikan umur anda yang tercatat di dalam borang permohonan adalah tepat. Sekiranya berlaku kematian dan umur anda tidak dinyatakan dengan betul, syarikat insurans hayat akan hanya membayar amaun yang berpatutan dengan jumlah premium yang telah dibayar untuk umur yang betul.
  • Sentiasalah menyemak semula keperluan insurans anda untuk memastikan keperluan itu dilindungi secukupnya oleh polisi yang sedia ada
  • Oleh kerana dokumen polisi adalah dokuman yang sah di sisi undang-undang, ia hendaklah disimpan dengan selamat sehinggalah wang polisi insurans hayat diterima daripada syarikat insurans.
  • Salinkan maklumat asas seperti nama syarikat insurans, jenis polisi, nombor polisi serta nama penama dan simpan maklumat tersebut di tempat selamat.
  • Sekiranya anda mempunyai kemusykilan mengenai polisi insurans hayat anda, anda digalakkan untuk bertanya kepada syarikat insurans hayat anda.

Bagaimana hendak membuat aduan dan apakah saluran penyelesaian yang ada

  • Sekiranya anda mempunyai aduan tentang produk atau perkhidmatan syarikat insurans anda atau anda tidak berpuas hati dengan penolakan atau tawaran penyelesaian tuntutan, anda hendaklah terlebih dahulu cuba menyelesaikan aduan tersebut dengan Unit Aduan syarikat insurans berkenaan.
  • Sekiranya anda masih tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat, anda boleh menulis sama ada kepada Biro Pengantaraan Kewangan (Financial Mediation Bureau atau FMB) atau Bank Negara Malaysia yang akan mengendalikan aduan anda secara percuma. Anda boleh merujuk kepada pegawai di Unit Aduan syarikat insurans yang berkaitan tentang saluran yang betul untuk mengendalikan aduan anda.
  • Sekiranya anda ingin mengemukakan aduan kepada FMB, aduan itu hendaklah dikemukakan dalam tempoh enam bulan dari tarikh keputusan muktamad syarikat insurans. FMB mengendalikan pertikaian antara anda (samada individu atau syarikat) dengan syarikat insuransnya atau syarikat insurans pihak ketiga.
  • FMB merupakan sebuah organisasi bebas yang menyediakan saluran yang cepat, mudah dan cekap sebagai alternatif kepada mahkamah.
  • Walau bagaimanapun, FMB tidak mengendalikan pertikaian yang melibatkan polisi produk insurans, isu pengunderaitan, kes penipuan dan kes yang telah atau sedang dirujuk di mahkamah.
  • Selain itu, aduan yang dirujuk kepada FMB adalah terhad kepada:-
    • RM200,000 bagi polisi insurans motor dan kebakaran.
    • RM100,000 bagi polisi insurans yang lain.
    • RM5,000 bagi tuntutan kerosakan harta pihak ketiga.
  • Bagi kes yang bukan di bawah bidang kuasa FMB, anda boleh mengemukakan aduan tersebut kepada Bank Negara Malaysia.

Maklumat terperinci tentang cara membuat aduan boleh didapati dalam buku kecil bertajuk "Asas-asas Insurans dan Takaful" atau dengan mengakses laman web www.insuranceinfo.com.my atau laman web FMB di www.fmb.org.my.

Sumber : Bank Negara Malaysia

Last Updated on Monday, 18 July 2011 23:26