Thursday, 22 Jun 2017
You are here: Home
FOMCA LANCAR BULAN KEWANGAN BERHEMAT 2013 PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Thursday, 07 November 2013 11:28

KUALA LUMPUR, 7 Oktober 2013 – Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mengadakan Bulan Kewangan Berhemat 2013 dengan kerjasama Persatuan Bank Bank Dalam Malaysia. Program yang diadakan buat kali yang ketiga ini, dirasmikan oleh Encik Abu Hassan Alshari Yahaya, Penolong Gabenor Bank Negara, di Sasana Kijang, Kuala Lumpur.

Program Bulan Kewangan Berhemat ini bertujuan untuk memberikan penekanan tentang kepentingan celik kewangan sebagai kemahiran hidup bagi semua orang, mendidik rakyat Malaysia tentang cara untuk membangun dan mengekalkan tabiat dan perilaku kewangan yang sihat untuk kesejahteraan kewangan mereka, dan mengutarakan isu dan aduan pengguna tentang sektor perbankan dan kewangan.

FOMCA masih menggunakan tema yang sama semenjak tahun 2011, iaitu “Tanggungjawab Kewangan Bermula Dengan Saya”.

Sepanjang bulan ini, pelbagai program dirancang oleh FOMCA, iaitu latihan kewangan untuk pra persekolahan, pendidikan kewangan untuk eksekutif muda, ceramah kesedaran kewangan di sekolah dan institusi pengajian tinggi, bengkel kewangan untuk komuniti, khususnya golongan belia dan wanita, serta pendidikan pelaburan untuk pemimpin masyarakat.

Dalam ucapannya, Datuk Marimuthu Nadason, presiden FOMCA, menegaskan keprihatinan FOMCA terhadap masalah kewangan yang dihadapi oleh rakyat Malaysia pada ini. Hutang isi rumah negara yang mencecah 83% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar merupakan antara tertinggi di dunia.

Begitu juga dengan jumlah muflis rakyat Malaysia yang semakin meningkat. Antara tahun 2005 hingga November 2011, terdapat 103,827 yang telah diisytiharkan muflis. Daripada jumlah tersebut, 32.3% adalah golongan berusia antara 35 hingga 44 tahun, manakala 17.6% pula berumur 25 hingga 34 tahun.

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh KWSP pada tahun 2003, 50% pencarum menghabiskan wang caruman tersebut dalam tempoh 5 tahun. Dalam keadaan hayat rakyat Malaysia yang boleh mencapai 75 tahun, masalah caruman KWSP sudah tentu amat membimbangkan.

Pada masa ini terdapat pelbagai pihak yang mengadakan program pendidikan kewangan. Namun tidak terdapat integrasi antara program-program tersebut sehingga menyebabkan berlaku pertindanan sasaran yang terlibat dengan program tersebut.

Justeru, Datuk Marimuthu menekan lagi tentang cadangan FOMCA agar ditubuhkan Suruhanjaya Pendidikan Kewangan bagi menyelaraskan semua program berkaitan pendidikan kewangan.

Turut hadir ialah Dato’ Lim Hong Tat, Timbalan Presiden dan Ketua, Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, yang mewakili Persatuan Bank Bank Dalam Malaysia. Selain itu, wakil daripada syarikat kewangan, insurans, agensi kerajaan dan NGO turut serta dalam majlis pelancaran Bulan Kewangan Berhemat 2013,

Laporan oleh:
Mohd Yusof Abdul Rahman
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)